Dinding Kaca

0
8:53 AM
Gedegang! Gedegang...! Hantukan keras kepalanya menggegarkan sisi kabinet dan mengocakkan sedikit permukaan air yang sebelumnya tenang sejak pagi tadi. Rasa kebosanan semakin lama semakin membarah di dalam segenap urat sarafnya. Kepala hotaknya sedikit berpusing, pandangan mata kuyunya agak berpinar bukan kerana kesan hantukan pada dinding kaca sebentar tadi, tapi dek kerana air yang keluar dan masuk ke dalam mulutnya. Memualkan. Terasa seperti mengemam najisnya sendiri, muntah! Tapi dia harus menahan daripada mengeluarkan isi perutnya, kerana dia tak mahu jadi satu-satunya makhluk tuhan yang akan menyedut muntah sendiri. Membuatkannya lebih kurang sama jijik macam Badang yang sanggup memakan muntah jembalang sungai.

Sepanjang pagi ni, tiada apa yang dapat dia lakukan selain melekap pada dinding kaca menyedut kesan-kesan kotoran lama dan baru. Cuma itu sahaja yang mampu dia lakukan, memandangkan telah dua hari sajian kegemarannya tidak dihulurkan dari atas sana. Habis meleser di bucu kiri, dia mengheret pula dirinya perlahan-lahan ke arah bucu yang satu lagi. Begitulah rutinnya, amat membosankan!


"Celaka! Aku mesti berambus dari sini secepat mungkin. Tempat ni dah macam neraka. Aku pasti si Carassius yang berperangai macam jahanam tu mesti dah kena campak kat tempat yang teruk macam ni. Padan muka, dulu masa kau hidup selalu sangat kau mengutuk aku". Plecostomus bercakap sendirian dalam hati. Memang kehidupannya sedikit berubah sejak kehadiran Carassius beberapa bulan yang lalu. Berubah daripada menjalani kehidupan yang normal menjadi kepada hidup seperti dalam neraka jahanam tingkat paling bawah.

Walau pun dia adalah penghuni paling senior dan telah diam sejak tempat itu dibuka, namun dia sering menjadi mangsa cemuhan sinis oleh si Carrasius lantaran keadaan fizikalnya yang menjelikkan. Antara mereka, dia dikenali sebagai pengotor kerana kegemaran dan tabiatnya yang gemar melekap pada dinding kaca sepanjang hari sambil mulutnya sentiasa menghisap kekotoran yang bertapak di dinding sama ada lendiran sisa makanan, sisa buangan atau pun lumut-lumut muda.


Tapi kesengsaraan hidupnya yang bertahan beberapa bulan itu tamat dua hari lalu, apabila Carassius ditemui tidak bernyawa di celah-celah gazebo buatan bersebelan dengan filter power head sana. Kematian si Carassius tidak disedari Plecostomus oleh kerana mereka berdua memang jarang bertegur sapa, hanya diketahui olehnya apabila tubuh Carassius diangkat keluar betul-betul di hadapan matanya.


Kini, dia terpaksa meneruskan kehidupannya sendiri, sekali lagi. Jika Carassius tidak diambil kira, setakat ini dia telah menghuni tempat neraka itu bersama-sama empat yang lainnya silih berganti. Semuanya mati sama ada oleh sebab keracunan air atau bergaduh sesama sendiri.


Renungan mata kuyunya makin jauh. Jauh bukan setakat menembusi dinding kaca betul-betul di hujung misainya, malahan menembusi pintu solid hingga dia dapat membayangkan apa yang ada di dunia luar sana. Dirasakan udara dan air yang bercampur di sini semakin melemaskan. Menyesakkan nafasnya. Ke utara dia bosan, menuju ke selatan dia terasa lebih celaka, atau sekadar mundar-mandir di sekeliling ruang sempit itu juga membuatkan dia macam nak gila.


Ah, sial la...! Aku nak berambus! Berambus dari neraka yang maha celaka ni! Dia menjerit dalam hati. Badannya diregang sepuas-puas hati, mengeliat melintuk seakan-akan menari mengikut rentak lambada. Di dalam kepala hangguknya dah sedia terbayang akan udara nyaman dan segar yang bakal menusuk masuk menyelinap ke seluruh tubuhnya. Bagaimana titisan rintik hujan hujung November bakal menitis ke mukanya tatkala dia menari-nari gembira di luar kelak. Dan apabila telah penat menghayati atmosfera dunia luar sana, dia boleh merebahkan badannya di perdu pokok mangga di simpang jalan besar sana. Ah, inilah bayangan syurga sebenar yang sentiasa menjadi mainan imaginasinya.


Tapi bagaimana aku nak melepaskan diri dari kurungan zalim ni? Siapa yang akan tolong aku? Apakah aku memang dilahirkan semata-mata untuk menjadi seperti apa yang aku jadi sekarang?


Rasa benci mulai merebak kepada ibu bapa kandungnya, asal keturunannya juga mula dipersoalkan. Dia rasa, memang sesuatu yang bodoh apabila nenek moyangnya dulu mengamalkan cara hidup yang penuh kekotoran dan menjijikkan. Walau pun mereka mendiami tempat yang serba mewah dan berprestij tinggi, mereka tetap menjadi pengotor apabila tibanya waktu makan. Sungguh jijik. Dia juga mulai menyesal kerana tidak mati sebelum dilahirkan. Apa guna dikurniakan usia hingga ratusan tahun kalau sepanjang hayatnya dia hanya menjadi makhluk berkasta paling rendah?


Tolong, tolong aku. Tolong lepaskan aku dari sini... Suara sayu hatinya merintih...



******************************

Petang itu, sedang Plecostomus asyik menguis-nguis najisnya yang melekat di celah-celah bongkah kayu, dia dikejutkan dengan satu suara yang pernah dikenalinya dulu. Gemersik suara itu pernah menjentik pendengarannya beberapa tahun dulu, sebelum pemilik suara itu memutuskan untuk meninggalkannya sendirian menghadapi ejekan penghuni lain. Suatu keputusan yang amat-amat dibantah. Bukan kerana dia tidak mempunyai kawan yang lain, tapi kerana dia tak mahu pemilik suara itu bergelandangan di luar sana dan menjalani hidup seperti dirinya.


"Eh, Achatina!" Mulutnya menjerit sebaik dia berpaling ke arah susuk tubuh yang sudah semakin berisi sejak kali terakhir dia melihat sahabatnya itu.


'Achatina...!" Jeritan deras yang keluar dari pangkal kerongkongnya semakin lama bertukar nada menjadi sayu. Air matanya mulai bertakung membanjiri penglihatannya sehingga membuatkan dia hampir-hampir melanggar salur blower.


Achatina tersengih. Sengihan yang amat menggembirakan. Mulut tak bergigi yang amat dia rindukan. "Ke mana kau pergi selama ni? Kenapa kau pergi tanpa pengetahuan aku dulu? Kau sihat sekarang? Kenapa kau tak pernah kirimkan berita kepada aku? Apakah kau dah berjumpa sahabat baru selain aku? Adakah kau tak rindukan aku?"


Bertubi-tubi soalan yang tertembak keluar melalui bibir lepernya, seakan tidak membenarkan Achatina bernafas. Dirangkul, dihimpit, digulingkan dan habis diasak tubuh Achatina hingga separuh badan berlendir Achatina terbenam ke dasar butiran batu-batu halus.


"Aku ada, tak ke mana-mana sangat pun. Cuma mencari cabaran dunia realiti di luar sana." Jawab Achatina dengan butiran perkataan yang kurang jelas dek kerana sengihannya yang semakin melebar. "Kawan, kau macamana sekarang. Kau tak banyak berubah sejak aku pergi dulu.'


Riak wajah Plecostomus yang berbau harum dan ditumbuhi flora cinta Min Malik kembali mendung, redup. Dalam tempoh tak kurang setengah saat, graf keceriaan yang mengalas wajahnya jatuh merudum hingga ke paras negatif. Air mata yang menjulur hingga ke hujung misainya segera ditepis seolah-olah mahu menyembunyikan perasaan hiba yang maha hebat ketika itu. "Hm, aku macam ni jugak. Tetap tak berubah sebagaimana kau tinggalkan aku dulu. Selagi tempat ni wujud dan berbentuk kiub, selagi itu la aku tetap tak berubah." Tenang suara Plecostomus menjawab hampir tidak didengari.


"Kawanku, aku kira kau dah ketemui segala jenis kebahagiaan yang dulu kau amat dambakan bukan? Maafkan aku sebab pernah menghalang kau dulu." Kata Plecostomus.


"Ah, tak mengapa. Sebentar lagi aku akan ceritakan apa yang ada di luar sana. Kau pasti teruja dengan apa yang aku jumpa selama ni. Cepat, bawakan aku ke tempat kita membuang masa dulu." Achatina meninggikan sedikit suaranya seakan mahu menceriakan sedikit suasana. "Lagi pun aku takkan singgah lama disi, cuma mahu menjenguk sahabat. Mungkin esok pagi aku akan kembali berkelana."


Mata Plecostomus yang sejak azali sepet kuyu serta-merta membundar, terkejut dengan kata-kata sahabatnya. "Kenapa cepat sangat? Aku belum puas menatap wajah kau."


"Dan aku ada sesuatu yang perlu diceritakan kepada kau, mungkin aku tak akan sempat menghabiskan cerita aku sebelum waktu syuruk esok. Tolong la jangan pergi dulu..." gesa Plecostomus sambil menyeka lendiran yang masih tersisa di hujung bibirnya sejak tengah hari tadi.


"Ha, aku tau mesti kau teringin juga nak keluar dari neraka ni kan? Itu bukan masalah besar. Sepatutnya kau ikut apa yang aku ajukan dulu. Kau perlu berani..." Sengihan Achatina bertukar menjadi senyuman sinis, penuh terisi makna mendalam.


"Itu lah yang aku nak ceritakan kepada kau sebentar lagi." Jawab Plecostomus selamba...



******************************

Tak boleh jadi, dia mesti laksanakan rancangannya pagi ini jugak. Segala-gala perancangan telah siap disusun sejak Achatina mengheret diri pergi meninggalkan dirinya buat kali kedua malam tadi. Kata Achatina, waktu gelap adalah waktu yang paling sesuai untuk menyusup keluar masuk ke ruang neraka itu. Dia tidak pasti dengan kebenaran teori apokalips sahabatnya itu, biarkan. Biarkan sahaja teori persenyawaan beradas menjadi pemalar dalam penentuan kadar ketumpatan sesuatu jisim dalam ruang vakum itu berkubur. Dia tidak peduli.


Takkan dia peduli dengan tips-tips untuk melepaskan diri sebanyak tiga halaman bercetak font bersaiz 12 dan menggunakan Times New Romans sebagai font style. Dia tahu, dan dia memang telah sedia menghafal tips-tips itu sejak bertahun dulu. Sejak dia ditinggalkan terkotak-katik dibuli sendirian. Kerana teori dan tips-tips sebagaimana yang diajar Achatina itu sama dengan yang mereka telaah ketika membesar bersama dulu.


Cuma ketika itu dia tidak mempunyai kekuatan untuk melepaskan jasadnya melepasi dinding kaca itu. Takut, tiada keberanian. Langsung tidak seperti Achatina yang mempunyai keinginan sebegitu kuat, sehingga mampu membawanya keluar menerobos ke dunia yang lebih real. Realiti yang selama ini cuma ada dalam kotak imaginasinya setiap malam.


Janji mereka, Achatina akan menunggu Plecostomus antara tongkolan batu-bata serpihan binaan dengan tembok berkemasan pebble wash setinggi dua kaki, sebaik sahaja matahari mula menampakkan jalur cahayanya dari celah-celah perumahan highrise kos rendah di sebelah timur sana. Itu yang semakin menguatkan semangatnya, bak Rusdi Ramli ketika berlakon dalam drama Spektra, Hati Waja lama dahulu. Drama celup kegemarannya yang membuatkan dia sering membayangkan dirinya seperti pesilat kampung, sepertimana watak lakonan hero kacak itu. Tembok pebble wash itu memang telah menjadi jamuan matanya setiap pagi dan petang, tatkala pintu solid di depan sana terbuka untuk membolehkan penghuni selain dirinya meloloskan diri keluar masuk.


Cuma kali ini, dia yakin. Tak lama lagi, permukaan menggerutu itu bukan lagi dapat dilihat dari jauh, malahan dapat dicium  sepuas-puasnya. Mengikut perkiraan kasar dengan menggunakan persamaan kuadratik dan menggunakan nombor perdana sebagai pekali, dia yakin peluangnya akan tiba dalam masa beberapa minit lagi.


"Eh, sampai bila lagi kau nak jadi pengecut macam ni? Kau nak mati di sini jugak ke? Jangan biarkan takdir kau berlaku dengan sendirinya. Kau yang harus memilih takdir kau. Bukan aku, bukan juga Tuhan. Sekarang aku dah bagitau apa yang patut kau buat. Terserah pada engkau sama ada kau mahu terus menjadi pengecut." Masih terngiang-ngiang lagi kata Achatina di telinganya usai mereka menjamu selera bersama setelah beberapa lama. Makam malam yang penuh bermakna, walau pun hanya berbekalkan menu yang biasa dia hadam setiap hari. Dalam hati, dia lega kerana Achatina masih sudi berada di sisinya walau pun cuma untuk beberapa jam. Harapannya untuk menunggu tangan Tuhan dihulurkan menyeberangi dinding kaca ini sudah tiada lagi. Tuhan tidak boleh diharap, sengaja mahu aku mati di neraka ni!


"Selama bertahun-tahun kau hidup sebagai penganut kasta paling hina. Dimaki, dicaci dan dikeji setiap penghuni lain. Apakah kau sudi lagi menunggu penghuni baru yang bakal menggantikan tempat Carassius dulu? Tidak. Kau tidak perlu mati di sini sebagai makhluk yang bacul. Ini bukan tempat untuk mati yang baik. Kau juga berhak menikmati hidup dan menunggu kematian di tempat seindah syurga. Cepat, semakin lama kau pertimbangkan cadangan aku, rasa takut kau akan kembali memakan semangat kau yang selama ni terbakar." Tambah Achatina lagi. "Aku sudah mengenali kau sebagai makhluk hina, dan aku tak mahu melihat kau juga mati hina. Sudah lah kau tak tahu di mana kau dilahirkan, malahan kau tak pernah kenal siapa ibu bapa kau. Tarikh lahir sebenar kau pun tak pernah kau pedulikan! Sekarang lah masanya..."


Desakan demi desakan Achatina yang memukul dirinya semakin membuatkan dirinya panas. Nekad. Kini tekadnya sudah semakin bulat. Hari ini adalah hari terakhir dia menjadi makhluk hina di situ. Dan sebentar lagi, dia akhirnya akan menikmati nyamannya udara pagi.


Kreeuuuk... Pintu hadapan setebal labih satu inci dan diperbuat dari kayu itu dibuka perlahan. Sedikit cahaya menerpa masuk, menyuluh terus ke muka Plecostomus. Matanya terkebil-kebil menantikan saat yang sesuai. Segalanya sudah di dalam kepala. Penghujung dinding kaca kini tinggal beberapa sentimeter sahaja lagi dengan kepalanya. Jarak yang paling ideal.


Dia berundur sedikit, sedia untuk membuat gerakan Ussain Bolt menerpa garis penamat.


Tap! Dammm....


Bunyi punat pada door knob ditekan kasar dan perlahan-lahan pintu ditutup rapat, sekaligus melenyapkan tembakan cahaya pagi dari luar. Serentak dengan itu, Plecostomus seterusnya melonjakkan dirinya melepasi dinding kaca sekuat-kuat hati.


Dia tidak menoleh lagi, tak perlu. Kerana kini tubuhnya sudah terawang-awang di udara menanti untuk mendarat ke atas permukaan yang menjanjikan permulaan perjalanan hidup baru...


Plaap...!


About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

0 nasihat berguna: