Selamat Tinggal, al-Fatihah...

0
1:03 AM

April 2009

Kemasukan aku adalah sedikit lewat iaitu selama dua minggu berbanding mereka yang lain, gara-gara masih terdapat beberapa tugasan yang tertangguh di tempat kerja lama. Cukup tempoh dua minggu, aku segera memasuki pejabat yang terletak di tingkat enam dengan satu semangat yang baru.

Seperti biasa, kejutan budaya memang tidak dapat dielakkan. Lebih-lebih lagi tempat baru ini aku perlu berhadapatn dengan hampir 50 puluh orang rakan sepejabat dari pelbagai peringkat jawatan berbanding hanya seorang sahaja yang menjadi peneman bual aku di tempat lama iaitu Priya.

Mulanya, dia menjadi antara golongan yang aku anggap sebagai annoying kerana budaya kerja mereka yang terlalu statik hingga aku rasa langsung tak boleh blah. Can not go! Kemudian, sedikit demi sedikit aku mulai mengasingkannya daripada golongan annoying itu kerana aku baru tahu yang dia adalah seorang yang komited dalam diam.

Walau pun dia tidak tahu melakukan banyak kerja, tetapi dia tetap tidak banyak merungut dan akan menyudahkan kerja itu sebaik mungkin. Cuma jika ada beberapa perkara yang tidak difahami, barulah dia akan bertanya dan minta tunjuk ajar daripada orang baru yang lebih mahir tanpa segan silu.


November 2010

Tanggapan positif aku terhadap dia diperkuatkan lagi apabila aku pertama kali berpeluang keluar out station ke negeri di bawah bayu bersamanya dalam satu kumpulan berlima. Walau pun umurnya sudah lanjut, dia tetap setia menerima arahan ketua kumpulan tanpa banyak alasan. Badan sengal, tak larat panjat tangga tinggi-tinggi. Kaki sakit, tak boleh jalan jauh-jauh. Itu langsung tak keluar daripada mulutnya.

Malahan, dia adalah orang pertama yang sampai di KL Sentral sebelum jam 6:30 pagi lagi pada hari kami bertolak ke sana. Sangat komited!

Dan satu lagi kenangan manis (sedikit lucu sebenarnya) apabila secara tiba-tiba dia mahu mengikuti kami bertiga (tiga lelaki dan dua perempuan termasuknya dalam kumpulan) dalam aktiviti malam iaitu menonjol bola! Bayangkan ada seorang wanita tua berusia  lebih separuh abad menemani kami bermain snuker. Kami rasa, mesti ramai yang berbisik "eleh, muka je ganas tapi main snuker bawak mak" sesama sendiri.


15 Oktober 2012

Pagi tu, sebaik sampai ke pejabat, aku dapati suasana sedikit riuh terutama sekali dari kalangan makcik-makcik di sebelah sana. Setelah diselidiki, barulah aku tahu dia telah didiagnos dengan penyakit barah pankreas peringkat ketiga. Waktu tu, aku rasa macam nak tikam dada sendiri dengan pisau sebab aku sedikit pun tak perasan yang dia tidak datang bekerja sejak lebih sebulan yang lalu.

Ketiadaannya di tempatnya langsung tidak menarik perhatian aku, walau pun mejanya terletak betul-betul di laluan aku setiap hari. Dalam sehari, lebih dua puluh kali aku akan melalui hadapan mejanya.

Jadi, pagi itu kami berpakat untuk pergi melawatnya di rumah. Aku yang tak ada kenderaan berbumbung cuma menumpang mpv seorang pegawai berjawatan lebih tinggi yang aku kurang senangi sejak dulu.

Ketika di rumahnya, aku adalah antara yang paling awal sampai. Untungnya, dia dapat melihat aku lebih lama walau pun tidak banyak bercakap. Badannya ketika itu dilihat cukup lemah. Kami diberitahu oleh anak keduanya seorang doktor, dia mengalami komplikasi selepas pembedahan membuang tumor di dalam perut. Ditambah dengan pengaruh emosi, dia tidak banyak menjamah makanan. Paling banyak pun hanya sekeping roti bersama segelas air Milo. Itu pun tidak mampu dia habiskan.


18 Oktober 2012

Tengahari itu suasana di pejabat agak ceria kerana kami mengadakan sedikit jamuan makan sempena sambutan hari lahir beberapa kakitangan dan majlis penyampaian hadiah aktiviti beberapa acara sukan yang bermula sejak beberapa bulan sebelumnya. Aku yang dalam terpaksa sertai acara bowling, cuma mendapat tempat ke-empat kategori pasukan. Lain-lain acara, aku tak ambik port langsung.

Penyampaian lain-ain hadiah pun, aku tak berapa nak peduli. Aku lebih selesa bertepuk tangan dari sudut terpencil dan tersorok dari pandangan. Lagi pun aku memang seorang yang anti-sosial. Bila penat, aku kembali duduk sambil mengadap monitor.

Belum pun tamat kemeriahan majlis tengahari itu, kami semua dikejutkan dengan berita kematiannya. Masing-masing terpaku. Ada yang semacam tak percaya, ada jugak yang terus tergamam. Aku? Aku tak rasa aku mampu memberikan apa-apa reaksi.

Kebetulan juga, masa dia menghembuskan nafas terakhirnya adalah ketika kami semua sedang riuh bertepuk tangan. Serta namanya adalah antara yang tertulis di atas kek!


19 Oktober 2012

Semua urusan pengkebumian jenazah berjalan dengan lancar. Cuaca pagi tu sedikit mendung dan kadang-kala metahari cuba jugak mahu menunjukkan cahaya kejaguhannya. Aku lihat, aktiviti manusia di sekitar kawasan perumahan di sekitar Segambut berjalan seperti biasa. Ada yang membeli akhbar di kedai runcit tepi jalan, ada mekanik yang membaiki motosikal di bengkel, dan ada jugak bas Rapik KL yang menyusuri jajaran jalan yang sempit.

Bagaikan tiada perubahan. Tapi, bagi aku selepas pagi itu pasti akan ada sedikit perubahan dengan suasana sekitar atmosfera pejabat dari kaca mata aku.

Tiada lagi orang yang sesuai menjadi bahan usikan aku. Tiada lagi bebelan meleret-leret daripada mulut seorang tua berpangkat emak ke telinga aku. Biasanya, aku akan buat` telinga pekak' apabila dia bercakap dengan aku. Masuk telinga kanan, keluar telinga kanan jugak. Biasa la, tabiat orang tua yang takkan cukup  dengan satu ayat apabila bercakap. Lebih-lebih lagi perkara-perkara yang berkaitan dengan hal-hal duniawi dan alam di sana. Dan biasanya jugak, omelan panjangnya itu akan tersekat dengan usikan aku yang kemudiannya diakhiri dengan mulutnya yang tersipu-sipu sambil berkata "ish, kamu ni".

Sebagai lelaki dan seorang yang tidak mempunyai talian saudaranya, aku tidak menangis sepanjang mengikuti proses penyempurnaan sehingga jenazah dibawa ke tanah perkuburan. Tetapi sebaik sahaja beberapa kepalan tanah yang pertama dihulurkan ke dalam liang lahad, hati aku tiba-tiba menjadi sayu. Dalam kesayuan itu, ada sedikit perasaan sebak.

Selepas ini, aku tak akan memanggil lagi namanya atau menegurnya tiap kali aku melalui hadapan mejanya. Dan tiada lagi omelan berisi yang membingitkan.

Semuanya tinggal kenangan. Dengan mata cangkul yang mengaut masuk tanah ke dalam liang lahad, maka terpisahlah dia dari dunia aku. Berpindahlah dia ke alam yang pasti menemukan dia dengan janji-janji terdahulunya. Selepas kali terakhir aku menjenguk ke dalam liang lahad, itu adalah kali terakhir aku melihat wajahnya yang tenang.

Selamat tinggal, nama dan wajahmu akan kekal bersemadi di dalam kotak fikiran aku sampai bila-bila.

al-Fatihah...

Petang kemudiannya, bumi sekitar Kuala Lumpur dibasahi dengan hujan...
(Gambar dari Facebook rakan yang lain.)

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

0 nasihat berguna: