Zurin (I)

0
12:40 AM
Jarum pendek jam dinding telah melewati angka tiga beberapa minit yang lalu manakala larian bayu dinihari yang melepasi jalur-jalur fabrik jarang langsir di tingkap sana semakin mendinginkan hingga mencuit liang roma aku. Mata aku sudah mulai berair menahan rasa mengantuk yang teramat sangat. Sepertinya ada berderetan makhluk-makhluk super mikro yang berjuntaian di hujung setiap bulu mata aku. Semakin lama, semakin pedih.

Aku rasa, malam ini tak mungkin aku dapat menyudahkan kerja-kerja yang tertangguh sejak kelmarin ini. Ah, biarkan saja. Esok pagi kalau aku masih bernyawa lagi, akan aku sudahkan saja di tempat kerja seperti selalu-selalu. Bukannya aku tak biasa curi-curi buat kerja lain sambil berpura-pura buat kerja semasa waktu pejabat.

Dari skrin berlatarbelakangkan warna hitam dengan dihiasi garis-garis vektor berwarna-warni, aku melarikan kursor ke arah tab tertulis Facebook (1 New Message) di sebelah atas.


Hmm, belum tidur lagi rupanya dia ni. Atau pun aku yang terlalu leka menyudahkan draf-draf pelan hingga terlupa untuk memeriksa tetingkap yang satu lagi itu sejak sekian lamanya tadi, membuatkan si penghantar mesej itu telah lama tidur meninggalkan monitornya.

haha, suda la ko! 02:44

wei, ngntuk ar
esk keja
len kali ar smbg
tp aku nk tanye ko 1 bnda ni
ko jgn mrh pulak 03:11

Pantas jari-jari aku menekan mata-mata pada papan kekunci dengan diakhiri kekunci Enter. Sengaja aku mahu memberikannya satu soalan cepu emas sebelum berangkat ke katil. Sambil tersengih, mata aku terkebil-kebil menantikan balasan daripadanya di sana. Manalah tau jika dia juga sedang menantikan mesej aku sebelum melelapkan mata. Aku tau dia boleh bangun atau tidur pada bila-bila masa yang dia mahu sebab dia pernah memberitahu aku dulu bahawa dia sering tertidur di hadapan laptop. Sudah menjadi tabiatnya untuk berkunjung ke lama sosial ini tiap kali sebelum tidur.

hah, pedia?
jgn tnye bnda merepek 03:13

Wah, balasan mesejnya kali ini memang pantas. Kebiasannya dia akan mengambil masa purata hingga lima minit untuk membalas setiap pertanyaan aku. Hingga kadang-kala aku terlupa yang aku sedang bersembang dengannya.

btul ke ko ni single lg?
tu la, dlu ms sek ko kerek sgt dgn aku
klu x mst skrg kita dah ada ramai anak
hahahaaa!!! 03:14

byk la ko! 03:14

hahahaaa...
chow! 03:15

Dengan segera aku mengklik pada butang Log Out, malas nak baca bebelannya pagi-pagi buta macam tu. Tak tahan lagi mata aku nak menakung air kat kelopak bawah ni. Memang betul-betul punya mengantuk, bukan main-main. Sori beb, kau terkena kali ni. Hahahaaa... Selamat malam beb. Esok kita berbual lagi.

Chirpp...! Chirppp...!

Tiba-tiba dada aku tersentak. Terkejut dengan satu nada dari telefon yang aku lupa untuk perlahankan atau letakkan dalam mod getar tadi. Betul-betul di sebelah telinga aku, hampir membuatkan aku bangkit dari posisi terlentang. Cilakak, siapa pulak hantar sms time macam ni?

Bila aku teliti dengan mata rabun aku, dalam samar aku dapat membaca pesanan ringkas ini datangnya daripada Zurin. Eh, apahal dia mesej aku pulak ni. Takkan nak marah aku kot. Kalau nak marah sebab gurauan aku sebentar tadi, tak payah la sekarang. Simpan la dulu untuk esok.

Sambil menggosok-gosok kelopak mata, aku berusaha membaca teks-teks yang terpapar pada skrin telefon Samsung aku.

ye, mmg aku single lg. sbb x rmai org yg berani usha aku kot. :-)
kt sek dlu bkn sbb aku yg kerek, tp ko tu yg xnk tegur aku
aku ingt ko smbg, klu x mst kite da pnh kapel kan?
hihi, daa...

Gulp! Nyaris aku nak tercekik dengan air liur sendiri bila membaca setiap biji butir aksara yang keluar. Susunan aksara itu aku baca berulang kali hingga membawa kepada sengihan yang panjang.

Awal pagi itu, aku melelapkan mata dengan dihiasi bibir yang menyerupai kerang busuk...

...bersambung.

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

0 nasihat berguna: