Zurin (II)

7
12:37 AM
Lebih kurang sepuluh minit aku tertonggok di situ, sendiri. Sengaja aku memilih meja bulat kecil yang terletak di satu sudut yang terpencil, supaya kehadiran aku yang sendirian tidak begitu disedari oleh sesiapa yang datang selepas aku dan bangun sebelum aku. Tapi mujur, orang-orang yang tiba selepas aku masih belum ada lagi yang selesai makan. Semuanya menunjukkan tahap kelahapan standard rakyat Malaysia, dan ada juga yang duduk-duduk sambil bersembang mengadap segelas air minuman.

Masuk minit yang ke sebelas, aku melihat muka jam di tangan yang hampir melewati pukul 5:20 petang. Masih awal. Waktu yang kami persetujui untuk bertemu adalah pada tepat jam 5:30 petang. Hari itu, sengaja aku datang awal. Bukan setakat hari itu, malah aku berjanji pada sendiri akan datang lebih awal untuk temujanji kedua, ketiga atau seterusnya... Kalau ada.

Jantung aku mulai mengepam darah dengan lebih kerap, laju dan padu mengalirkan cecair darah yang membawa oksigen ke seluruh tubuh aku. Tapi tidak ke otak. Kerana aku yakin aku seperti telah membuat keputusan yang salah untuk bertemunya pada kali pertama. Itulah dia angkara gatal jari nak menaip sms, gatal bibir nak menuturkan bicara yang mengandungi pelawaan minum bersama seterusnya berbincang tentang projek yang belum tentu bila akan bermula, kononnya...

"Wei abang botak, apahal termenung ni?" Celaka, terasa macam nak meletup paru-paru aku apabila tiba-tiba ada satu objek keras dan tajam mencucuk bahu aku diikuti dengan satu suara lembut menjerkah dari belakang. Sebaik menoleh, kelihatan sesusuk tubuh kecil dan langsing dihiasi dengan wajah seorang perempuan manis yang memang aku kenali.

Walau pun sudah beberapa tahun aku tak bertemu dengan pemilik wajah manis ini, aku masih dapat mengecamnya dengan begitu jelas. Walau pun pipinya sudah kurang berisi berbanding ketika zaman persekolahan dulu tetapi alis mata, alur batang hidung dan lekuk di dagunya tetap aku ingati. Dan walau pun dia kini sudah berhijab, dia kekal manis pada pandangan mata nakal aku.


"Adui, kau nak aku masuk Kosmo ke sebab mati mengejut kat restoran nasi kandar ni? Sampai sekarang aku ni Islam lagi la, bagi la salam. Tak la aku tersedak air liur sendiri." Aku jeling pada wajah manis berkulit cerah itu. Pandangan mata aku menuruti pergerakannya melabuhkan punggungnya di tempat duduk yang terletak betul-betul di depan aku, tanpa disuruh.

"Sorry beb, aku tak sengaja. Biasa la, aku memang teruja sikit nak jumpa kau ni." Balas Zurin dengan nada sedikit manja beralun, membuatkan bulu roma aku bangkit. "Yela, kan dah lama tak jumpa sejak habis SPM dulu. Tak tau pulak hati kau sekarang ni dah rapuh macam papadom."

"Ha'ah, banyak la kau punya papadom!" Segera aku memotong cakapnya sambil tersengih. Dengan barisan giginya yang tersusun rapi, amat jelas sekali dia memiliki beberapa ciri kesederhanaan fizikal kerana dia bukanlah seorang perempuan yang terlalu cantik hingga mampu membuatkan semua lelaki berpaling untuk kali kedua, dan tidak pula terlalu hodoh hingga membuatkan mak dan ayah aku kat kampung segan untuk bermenantukan dia. Cukup sekadarnya. Senyumannya manis dihiasi setitik kecil tahi lalat halus di bawah bibir, pipinya dibelah rata oleh sepasang lesung pipit yang tidak berapa dalam, dan biji mata jernih bersinar seperti biji guli buat permainan congkak anak-anak kecil.

Bukan itu saja, sikapnya yang lincah tetapi lembut dalam nada tutur kata juga menambahkan kualiti yang perlu aku berikan sanjungan. Oh ya, satu lagi. Dia kini telah melindungi auratnya dengan sehelai hijab berwarna coklat gelap. Sekarang, tidak kelihatan lagi rambut lurus melepasi bahu seperti yang selalu aku tatap ketika belajar di sekolah teknik dulu. Entah, mungkin kini rambutnya telah semakin ikal atau telah dipotong kontot. Aku tak pasti.


**********

Lebih sejam kami menghabiskan masa di sudut terpencil restoran nasi kandar dengan berbincang projek yang syarikat tempat dia bekerja anugerahkan kepada firma kecil tempat aku bernaung, tak terasa langsung waktu yang berdetik meninggalkan kami. Gelas berisi saki-baki teh ais telah lama tidak aku sentuh, meninggalkan bongkah-bongkah ais yang semakin mengecil dan mencair di dalamnya. Daripada warna coklat muda, warna teh ais itu sudah semakin cerah. Cerahnya hampir menyamai kulit wajah si cantik manis di hadapan mata aku kini.

Pelbagai topik perbincangan yang kami bualkan. Bermula dari langkah-langkah preliminari untuk menyediakan beberapa titik kawalan asas beserta kedudukan yang sesuai di atas pelan, hinggalah kepada siapa yang lebih bertanggungjawab untuk peringkat permohonan kepada pihak berkuasa tempatan. Tak lupa juga agenda yang perlu dimasukkan dalam mesyuarat tapak yang pertama nanti. Semuanya berjalan lancar.

"Beb, aku nak mintak tolong satu perkara boleh?" Tiba-tiba Zurin mengajukan soalan yang mesti aku jawab dengan sesuatu yang positif.

"Takde hal. Kawan-kawan punya pasal apa ada hal. Janji jangan libatkan payment." Seperti biasa, aku akan tersengih tiap kali menuturkan bicara kepada perempuan manis di hadapan aku ni.

Sambil tersenyum mendengar jawapan aku, jari-jari halusnya mengangkat gelas berisi kopi tarik separas muka lalu dihirup perlahan. Aku pasti, kopi tarik yang diteguknya itu tidaklah sepanas mana, tapi tegukannya itu dilakukan dengan perlahan dan berhati-hati. Aku masih menunggu apakah bentuk pertolongan yang dia mahukan daripada aku.

Tap... Gelas kopi tarik yang tinggal suku isinya itu diletakkan di atas meja. Kali ini, matanya memandang tepat ke bebola mata aku. Dengan jelas sekali, aku sendiri dapat melihat wajah seorang lelaki kurus cengkung tanpa rambut terpapar pada skrin anak matanya. "Kau janji?" Tanya dia sekali lagi, mahukan kepastian...

"Yela, aku janji. Cakap la apa dia..." Aku membalas pandangan matanya. Aku mahu dia juga dapat melihat wajahnya sendiri di dalam mata aku, seperti mana aku...

"Ok la. Kalau kau perasan, selang satu kedai dari sini ada satu kedai bunga. Aku nak kau belikan bunga untuk aku boleh?" Ah, sudah... Dugaan jenis macam ni yang aku tak boleh nak handle. Apahal tiba-tiba dia mintak bunga kat aku ni. Ada nak buat prank ke apa.

"Ha, nak buat apa?" Kali ni giliran aku pulak yang bertanya.

Zurin mengerutkan dahinya mendengarkan soalan bernas aku. Seperti mencebikkan bibirnya, dia menjawab. "Kau ni kata je kawan. Aku konvo dua minggu lepas pun tak tau. Jangan la jadi lelaki yang tipikal sangat. Langsung tak concern dengan apa yang berlaku kat kawan-kawan. Aku bukan sesaja nak pau kau. Tapi masa konvo tu takde siapa pun bagi bunga kat aku. So, kalau kau bagi petang ni, esok pagi boleh la aku berlagak kat kawan-kawan ofis aku. Ada reti...?"

Damn!!! Macamana aku boleh tak tau ni?

...sedikit demi sedikit aku dapat merasakan jasad legap aku mulai menjadi lembik dan cair seperti butiran ais di dalam gelas yang dijemur di tengah panas.


Entri terdahulu :
Zurin (I)

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

7 comments:

  1. Hoho.. Bulih bikin novel ni.. Ada bakat gak ko kan..

    ReplyDelete
  2. Hmmm...ni sebahagian dari novel dlm pembikinan ke?

    ReplyDelete
  3. ni semua nak buang masa, tengah2 malam je...

    ReplyDelete
    Replies
    1. kau belikan tak bunga tu?

      Delete
    2. hahaaa... fiksyen, fiksyen...

      Delete
    3. x kan semua watak tu pun fiskyen jugak?

      Delete
    4. termasuk watak pelanggan kedai makan tu...

      Delete