Kisah Patin Kaki

14
2:41 AM
Dua, tiga minggu (entah, bulan lepas kot) aku menjengah ke sebuah tempat di Sekinchan dan Sungai Besar atas urusan keluarga. Berada di sana selama dua hari satu malam telah memberikan ruang kelegaan yang agak besar kepada aku, di mana aku tak perlu terkejar-kejar dalam menyelesaikan beberapa urusan terutamanya pada waktu siang. Jadi, secara automatiknya aku mempunyai masa yang lapang pada waktu petang hari pertama dan jugak sebelah malamnya.

Misi sampingan yang telah aku aturkan sebelum berangkat ke sana tak lain dan tak bukan adalah, mengail.

Memang sejak dulu lagi setiap kali aku lalu, singgah atau berkampung kat sini aku akan terliur nak megail kat tali air sekitar sini. Apa yang aku perhatikan, orang-orang yang mengail kat sini macam tak kira musim. Selalu je ada. Kadang berdua, kadang tu sorang-sorang pun jalan je. Tertonggok la mereka sendiri kat tepi jalan menghadap tali air.

Kali ni, aku nekad. Senjata dah siap tersusun dalam bonet kereta buatan Malaysia. Mata kail daripada tiga jenis saiz dah pun aku siap-siap ikat. Cuma perlu tunggu masa dan ketika yang sesuai je.

Hari pertama, petang...

Sebaik selesai solat asar lebih kurang jam 5:00 petang, aku pun jenguk keluar tingkap. Tengok langit, terang. Ada harapan nak melampiaskan kehendak mengail ni. Tanpa mengira cuaca yang masih terik, aku pun start enjin kereta buatan Malaysia berbekalkan sebuku roti Gardenia dan sebungkus cacing berharga RM2 yang aku beli kat Taman Kinrara petang semalamnya, menuju ke utara.

Kali ni aku tak nak melabuhkan mata kail kat tali air utama, tepi jalan besar ni. Tapi aku nak masuk ke dalam sikit. Lebih kurang dalam radius 2km berpusat di pekan Pasir Panjang, aku belok kanan ke arah kawasan sawah padi kat situ.

Dekat empat kali jugak aku berhenti kat kawasan situ, semata-mata nak cari port paling sesuai. Last sekali, aku berhenti kat Jalan Tali Air 7. Ini satu port baik. Ada pokok pisang kat tepi, boleh la jadi tempat aku berteduh sebab cuaca petang tu memang terik betul. Rentung pulak kulit mulus aku ni karang.

Balingan pertama, aku cangkukkan seekor cacing bertubuh sederhana kat hujung mata kail. Tak terlalu gemuk, tak terlalu kurus. Mempunyai kadar BMI yang ideal la senang kata...


Setengah jam berlalu. Mayat cacing kat hujung mata kail aku masih lagi segar, macam baru keluar peti sejuk. Ceh, langsung tak terusik. Atau pun memang takde ikan kat sini. Takpe, sebagai seorang yang penyabar aku tunggu lagi setengah jam.

Dalam tempoh setengah jam kedua tu, beberapa kali jugak la umpan aku dilarikan. Tapi malang, kekurangan pengalaman menangani kerenah makhluk tali air menyebabkan aku gagal mendaratkan walau pun seekor anak lampam (ada ke?). Semuanya sempat melarikan diri sebaik aku merentap pancing aku. Takpe, ada ubi ada batas. Silap langkah, aku libas.

Aku tukar strategi. Tukar strategi, kena la tukar lokasi jugak. Aku pun bergerak ke lokasi kedua sebab aku ada perasan kilasan ikan kat bawah culvert beberapa meter dari tempat aku duduk awalnya. Dengan kedudukan membelakangkan matahari terbenam, aku baling mata kail dengan umpan yang baru...


Dan, berkat kesabaran yang aku amalkan semenjak tadi, inilah dia hasilnya!


Ikan sepat bersaiz budak tadika. Takpe, rezeki yang tuhan nak bagi jangan dicemuh. Dapat bala karang, pujuk aku untuk menyedapkan hati sendiri.

Setengah jam kemudiannya, aktiviti mengail di petang yang terik ni masih lagi mengundang kehampaan. Cuma aksi melarikan umpan dan tarik menarik je yang berlaku antara aku dengan ikan-ikan dalam tali air tu.

Argh, ini semua dunia! Jiwa aku dah mula lentur dengan gurauan makhluk-makhluk air ni. Hari pun dah maghrib. Mengikut perkiraan kasar aku (petua empat jari yang Bear Grylls ajarkan), kurang setengah jam lagi matahari akan tersembunyi di sebalik garisan horizon dengan sepenuhnya. Baik aku balik, cari roti canai lagi bagus. Aku tak nak duduk kat tepi bendang ni waktu maghrib menjelang tiba. Sebabnya kebanyakan benda-benda ghaib ni akan dapat dilihat dengan mata kasar ketika pertukaran siang ke malam atas faktor perbezaan ketumpatan medium empat dimensi. Itu penjelasan saintifik yang aku baca berkenaan penampakan jasad-jasad halus oleh brader fotografi masa zaman study dulu.

Maka, sebaik selesai mengemaskan barang ke dalam bonet dan melepaskan semula ikan sepat tadi dengan harapan dia dapat kembali ke lubuk asalnya dengan aman tenteram, aku pun membawa hati yang lara ni balik ke pekan Sekinchan. Kecewa beb, misi tak terlaksana dengan jayanya. Rasa tercabar pulak kelelakian aku ni.

Beberapa ratus meter setelah membelok ke kiri di jalan utama menuju pekan Sekinchan, tergerak pulak hati aku nak belek-belek Google Map, mana la tau aku boleh terjumpa port mengail yang lebih baik berbanding kat tali air sini. Dan ini adalah hasil daripada carian aku. Lokasinya, di Kampung Sungai Leman.


Nampak tak apa yang aku nampak? Ya, ada lebih kurang sepuluh buah kolam. Aku tak pasti kolam apa ni, sama ada kolam pancing atau kolam renang. Tapi sudah semestinya bukan kolam kumbahan, sebab tempat ni agak jauh dari kawasan perumahan yang perlukan kolam kumbahan sebegini besar. Apa-apa pun, ini memang peluang aku, ada kemungkinan hari ni Tuhan amat sayangkan aku. Aku mesti cari. Lokasi pun memang cantik, betul-betul tepi laut. Cuma dipisahkan dengan sebatang jalan tanah merah (boleh nampak guna aplikasi GoogleMap kat smart phone) dan sebatang tali air (kena zoom dekat-dekat baru nampak).

Memandangkan hari pun dah nak gelap, tanpa membuang masa, tenaga dan petrol RON95, aku pun terus memacu kereta buatan Malaysia dengan transmisi automatik (dulu aku pakai Kelisa manual, memang syok) ke arah yang aku maksudkan. Di sinilah penting dan bergunanya kalau kita ada aplikasi GPS. Mudah sangat aku nak cari tempat ni.

Cuma, apabila menyusuri tempat tu aku terpaksa melalui jalan tanah yang cuma muat sebuah kereta dan seorang pejalan kaki je. Cuba bayangkan kalau bertembung dengan kenderaan yang lebih besar daripada sebuah basikal, aku tak nak mengalah...


Mujur juga jalan tu lurus macam batang pokok pinang, dari jauh aku boleh nampak kalau ada kenderaan yang datang.

Beberapa minit berselang, selepas mata aku puas melirik ke kiri dan kanan, akhirnya aku sampai. Aku yakin ini adalah kolam pancing berbayar sebab memang sah tertulis kat laluan masuk kolam tu (aku lupa nak snap gambar). Tambahan pulak, ada kereta lain selain daripada kereta buatan Malaysia aku yang parking kat tepi, menghimpit ke arah laut lalu mewujudkan ruang seakan petak parkir.


Ok, sah. Ini tempatnya. Nampak gaya, selepas dikecewakan oleh seekor ikan sepat tadi, aku terpaksa mengorbankan falsafah pemancingan aku iaitu `takkan sekali-kali mengail di kolam ikan atau udang berbayar, kecuali ada orang belanja'. Keyakinan aku bertambah apabila aku melihat seorang brader yang baru dua jam (aku tanya) duduk mengail kat situ boleh dapat enam ekor rohu dan dua ekor patin. Aku kira sendiri ikan-ikan dia tu masa aku mintak izin nak angkat jaring ikan dia dari dalam air. Semuanya aku anggarkan bersaiz purata seperti peha aku. Hm, lazat jugak tu.

Kalau dapat patin, balik karang aku dah terfikir nak suruh `saudari' aku masak apa.

Malam, selepas Isya'.

Keluar dari bilik, sebaik aku setting tali pinggang yang makin mengetat lepas pekena nasi gorang cendawan, aku melangkah dengan penuh bergaya macam Jeremy Wade masa muda dulu. Garang, penuh semangat membara dan keghairahan yang memuncak.

Berbekalkan tepung gandum, dedak bomb merah, perisa pandan (serbuk), dua rangkai mata bom yang aku beli beberapa minggu sebelumnya dan jugak set pancing medium action kesayangan, aku pun memacu kereta ke lokasi sasaran. Sebenarnya dalam bonet kereta aku ada bawak dua set pancing sebagai langkah berjaga-jaga. Dan salah satunya adalah set kesayangan aku, iaitu set pancing yang pertama aku beli masa tinggal kat JB (serumah dengan Miesai) dulu. Gandingan mesin Shimano siri 1000 (dilengkapi 3 ball bearing) dengan rod 6 kaki jenama Baung (two piecess, empat cincin), menjadikan set ini sebagai senjata ampuh aku dan sering mendaratkan ikan tatkala set yang lain kehampaan. Pendek kata, ini adalah set pancing bertuah aku.

Sampai ke kolam tu, lebih kurang pukul 10:30 malam, aku pun masuk ke dalam dan menghampiri kaunter.

"Sejam berapa dik?" tanya aku dalam nada romantik. Maklumla, kalau buat suara garang karang dia ingatkan aku ni jembalang air yang nak makan ikan kat kolam ni.

"Nak masuk jackpot sekali ke bang?" eh, aku tanya dia, dia tanya aku balik pulak. Dah la tu, nak suruh aku berjudi lagi.

*Aku kerutkan sedikit dahi dan menolak dengan baik, "Tak mau la dik, judi tu. Haram. Ambik yang biasa je."

"Sejam RM7 je. Tapi kena bayar deposit dulu RM20." jawab budak perempuan tu. Aku rasa umur dia dalam awal 20-an kot.

Setelah membayar duit deposit tu, aku pun menuju ke hujung kolam yang paling jauh. Walau pun orang malam tu tak berapa ramai, tapi aku tak nak rasa segan sangat kalau tak dapat ikan. Sebab tu aku sengaja pilih lokasi yang agak terasing sedikit. Kalau tak silap aku, ada lebih kurang sepuluh orang yang duduk mengelilingi kolam tu, berbanding sebelah petangnya yang lebih ramai. Tapi, cuma enam orang je yang mengail termasuk aku.

Dipendekkan cerita, dalam dua jam yang pertama, aku masih lagi termenung di tepi kolam tu sambil sekali-sekala memeriksa umpan adunan dedak, tepung dan perisa pandan. Sambil melayani facebook, aku sempat mengira berapa kali umpan aku disentap ikan. Tak kurang lima kali.

Aku masih bersabar, sebab pada aku ini perkara biasa dalam hal memancing. Sedangkan pergi pasar pun kadang-kala kita tak dapat ikan yang kita nak, inikan pulak mengail. Dan aku yakin, sekejap lagi pasti akan ada seekor ikan yang tak bernasib baik malam ni. Dan aku mengharapkan ikan kegemaran aku yang akan tersangkut. Ikan patin. Kalau tak sangkut kat mulut, mungkin mata kail tu akan tercangkuk kat dagu, pipi, leher (ada ke?) atau pun kebarangkalian yang lebih besar adalah kat badan. Sebab rangkaian mata kail yang aku gunakan adalah khas untuk umpan adunan (atau disebut bom), mengandungi lima bentuk mata kail yang diikat seperti gugusan kunci.

Masa tengah termenung tu, ada seorang lelaki dengan slang jawanya menegur aku. Dalam perbualan ringkas tu, dia sempat bagitau aku yang petang tadi owner kolam ni baru je masukkan ikan baru. Jadi kebanyakan ikan yang ada sekarang tengah pening-pening lalat sebab tak biasa dengan air kolam ni lagi. Itu menurut teori dia. Mungkin betul, mungkin juga salah. Tapi macamana dengan brader yang dapat banyak ikan petang tadi. Dia pakai ilmu pengasih ke apa?

Masuk jam yang ketiga, sedang aku asyik melayan Adele dalam whatsapp, tiba-tiba tali aku dilarikan ke kanan. Sepantas kilat aku menyambar batang joran aku lantas mengayuh pedal mesin aku dengan berhati. Setelah yakin ada ikan yang tersangkut, aku pun memulakan aksi profesional macam yang pernah aku ajar kat Jakub Vagner sebelum dia popular dulu.

Berkat kebolehan dan bakat semulajadi, aku cuma mengambil masa kurang seminit untuk mendaratkan ikan. Masa tu, aku punya bangga jangan cakapla, lubang hidung ni pun  lebih besar daripada cermin mata Ray Ban pasar malam. Tak cukup dengan Instagram, kat facebook pun aku dah update kejayaan aku siap dengan gambar sekali.


Maaf, gambar agak gelap sedikit sebab kuasa bateri dah tinggal sikit akibat aktif ber`facebook' sepanjang malam sampaikan flash pun dah segan nak tubik. Tapi berdasarkan perbandingan dengan selipar saiz 9 kat sebelah ikan tu, aku rasa berat ikan ni mungkin menghampiri satu kilogram kot. Takpe, nak balik karang aku timbang kat kaunter. Boleh la aku berlagak dengan budak perempuan tadi.

Selang setengah jam kemudiannya, sekali lagi tali aku direntap. Kali ini lebih kasar lagi. Hampir-hampir set pancing kesayangan aku nak terjun tiruk ke dalam kolam. Sebaik sempat aku sambar, aku pun bingkas bangun membetulkan kuda-kuda. Sedia untuk pertarungan kali kedua.

Perlawanan tarik menarik pun berlangsung. Aku harap orang lain yang ada kat kolam tu tak perasaan dingan situasi aku masa tu. Aku takut kalau main line aku putus, mesti malu satu negeri. Sebabnya, set pancing aku tu cuma dilengkapi dengan tali berkekuatan sederhana je, cuma 20lbs dan saiz lebih kecil (tak silap kurang 0.2mm kot). Konon-kononnya bila guna tali halus, boleh la gulung banyak. Bila gulung banyak, dapat la aku baling sampai ke Sumatera sana. Ceh, akibatnya aku terpaksa lebih berhati-hati dalam menaikkan ikan bersaiz sederhana.

Tapi aku rasa kali ini lebih besar dan berat berbanding yang pertama tadi. Manakan tidak, sampai melentur rod aku dibuatnya.

Tamat perlawanan, aku berasa sangat-sangat lega sebab peralatan memancing murah yang aku gunakan malam tu betul-betul membuahkan hasil. Cukup tiga jam, aku pun berkemas balik dengan senyuman menawan terukir di bibir. Aku telah berjaya dalam misi kali ni, walau pun terpaksa mengingkari prinsip menjauhi kolam berbayar.

Ala, apa la sangat sejam RM7 tu kalau nak dibandingkan harga kolam air tawar sekitar KL yang rata-rata berharga RM15 untuk sejam. Kira murah la tu. Asakan dapat ikan, tak macam brader slang jawa tadi tu. Dah tak dapat ikan, nak merungut salahkan owner kolam pulak.

Kat sini aku tak dapat snap gambar sebab bateri betul-betul dah kosong. Jadi, perbandingan saiz tu aku lakukan bila dah balik je. Dengan bantuan lampu bilik air dan kepingan floor tile, akhirnya seekor patin muncul secara tiba-tiba menyertai dua lagi rohu dalam sesi kawad cam. Dari mana datang tu tak penting, cuma ini adalah kali pertama aku tengok spesis ikan patin yang berbulu. Entah apa nama ikan patin ni, `patin kaki' kot.


*Perkataan judi dan haram tu, aku sebut dalam hati je. Kalau sebut kat mulut, aku takut kena halau pulak...
**Hasil tangkapan, dua ekor ikan rohu segandingan dengan seekor patin kaki.
***Bulu pada ikan patin dalam gambar di atas terpaksa di`censor'kan untuk melindungi identiti sebenar mangsa...

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

14 comments:

  1. lorr...beriya2 baca apa kebenda patin kaki tu...ingatkan patin jenis apa..rupanya patin yg tak boleh digulaikan..:)

    ReplyDelete
    Replies
    1. ini patin yang berselipar...

      Delete
  2. Patin yg amik gambar sekali dgn kaki ko tu? Patin ke tu beb? Aku konpius!

    ReplyDelete
    Replies
    1. yang tengah & kanan tu ikan rohu...

      Delete
  3. Pandai kira BMI ikan..

    Patin kaki dah dipakaikan seluar!

    Tak kenal dan tak penah dgr ikan rohu...besar jugak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. patin pemalu, pakai seluar...

      Delete
  4. sy pernah memancing laut dalam kat sabah ms tu. dapat ikan warna biru kuning mcm permainan tu..dapat je ikan, melompat2 atas boat.. terlupa diri terus.. ms tu trip gi diving kebetulan ada sesi memancing. er..patin kaki tu misti takde jual kat kedai.. =.='

    ReplyDelete
    Replies
    1. kalau pertama kali atau amatur macam aku ni, memang teruja bila dapat ikan...

      Delete
  5. Ha..ha.. pada IM, hobi memancing... buang karan!

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dulu pun fikir yang sama, tapi bila dah beli set pancing sendiri...

      Delete
  6. Memancing ikan 1,000 kali lebih baik dari memancing pompuan kan????

    ReplyDelete
    Replies
    1. Kalau memancing sebelah ada orang perempuan pun ok...

      Delete
  7. memancing ikan nie kena sabar..ia serupa nak pancing perempuan..hehehe..

    Regards,
    -Strider-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Skill pun lebih kurang sama...

      Delete