Beautiful World

0
8:38 AM

Kisahnya bermula begini (aku pun dah ingat-ingat lupa)...

Sebuah kedai serbaneka pada suatu malam yang tak diketahui jam berapa, didatangi oleh seorang lelaki tua bertutup muka. Mengacukan pisau (atau pistol, aku tak ingat) ke arah juruwang dan memaksa juruwang itu menyerahkan wang tunai. Tetapi cubaannya untuk menyamun pada malam itu mudah sahaja ditewaskan oleh Hikoichi, juga salah seorang pekerja di situ hingga membuatkan orang tua itu jatuh tersungkur ke lantai.

Tanpa diketahui oleh semua orang pada malam itu, Hikoichi sebenarnya adalah bekas ahli yakuza yang telah mencuba untuk meninggalkan dunia gelap lampau. Keputusan heroic Hikoichi pada ketika itu (dirakamkan oleh cctv) juga mengejutkan apabila dia menyerahkan sejumlah wang tunai kepada perompak tua itu, mungkin atas dasar simpati.

Jelas, perbuatannya itu dicurigai oleh majikan dan pihak polis (kemudiannya), serta dituduh bersubahat. Lebih-lebih lagi apabila identiti dia sebagai bekas ahli yakuza telah terbongkar.

Sejak itu, jalan cerita telah berubah dengan amat dramatik sekali. Kisaran antara elemen aksi yang sederhana, permainan mimik wajah Hikoichi (lakonan Tsuyoshi Kusanagi) yang berkesan ketika di penjara hingga ketika dia diangkat sebagai orang penting sebuah kumpulan yakuza di sebuah pekan kecil.

Pekan kecil yang sedang dibayangi oleh seorang ketua mafia berpengaruh dan juga seorang peguam/politisi muda iaitu Teruo (lakonan Teruyuki Kagawa) yang bercita-cita tinggi. Usahanya dalam meneruskan legasi politik mendiang ayahnya mendapat cabaran baru dalam isu-isu berkaitan kesihatan dan sosial penduduk setempat. Tambahan pula, mendiang ayahnya juga mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan haram di situ membuatkan segala gerak-gerinya sentiasa diperhatikan oleh pihak media.

Usahanya diburukkan lagi apabila bekas teman wanitanya iaitu Yoko (Narumi Yasuda) dipercayai menjalinkan hubungan mesra dengan Hikoichi, yang pada masa itu sedang berusaha membina kepercayaan daripada seorang ketua yakuza dengan menguruskan rumah perlindungan orang tua tak berlesen. Pada masa yang sama, dia juga masih lagi menaruh perasaan cinta terhadap bekas teman wanitanya itu.

Yoko, seorang ibu tunggal hidup dalam keadaan terdesak untuk membesarkan dua orang anak kecil dan menjaga ibunya yang nyanyuk. Dengan kehadiran Hikoichi di pekan itu sebagai pengurus rumah jagaan orang tua haram, telah menyebabkan dia kembali terperangkap dalam dunia yakuza, setelah berjaya menjauhi dunia gelap itu sejak kehilangan bapa kandungnya yang juga seorang ahli yakuza.

.
.
.
.
.
.
.
.

Cilakak, masa dah time pulak! Perjalanan selama lebih kurang dua jam setengah dari Bintulu ke KLIA hari tu gagal membuatkan aku menonton filem ni sampai habis. Menyesal aku godek skrin kat dalam kabin baru ni lama-lama. Kalau aku tau ada filem bagus dalam simpanan cakera keras pesawat Boeing 737-800 yang baru ni, memang terus aku tonton filem ni dari mula take off sampai la touch down. Dah la filem ni berdurasi lebih daripada dua jam, tontonan aku pulak banyak terganggu dengan pengumuman oleh crew dan kecantikan tubuh badan para stewardess.


Tambah dukacita, tontonan aku cuma bergantung sepenuhnya pada mata sahaja akibat aku gagal mencari mana nak dapatkan volume. Takde speaker, takde lubang nak cucuk earphone. Cuma baca subtitle je. Apa pun, aku memang suka filem ni walau pun tak dapat tonton sampai habis.


Oleh sebab tak dapat tonton sampai habis, secara automatiknya aku tak berhak membuat ulasan dan kritikan. Cuma boleh menceritakan jalan ceritanya seingat yang boleh. Sekian, assalamu 'alaikum...

*Sumber poster filem dan nama pelakon adalah dari sini.

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

0 nasihat berguna: