Nasihat Abah

8
9:31 PM
Suasana di ruang tamu hening. Yang kedengaran cuma deruan kenderaan yang lalu-lalang di hadapan rumah. Sesekali terdengar juga tingkahan anak-anak kecil bersenda di luar sana. Masing-masing membisu. Abang long cuma menunduk ke lantai. Matanya kuyu, mukanya perah padam. Tak ubah seperti buah epal segar di pasaraya. Ibu juga begitu.

Abah menjegilkan matanya. Ditenungnya semua yang ada di situ, satu-persatu. Bermula dari abang long yang duduk paling hujung berhampiran pintu utama, diikuti dengan kak long di sebelahnya sehingga diakhiri dengan usu yang duduk betul-betul di sebelah abah. Mata abah merah. Marah mungkin. Kerana seingat aku, abah hanya akan menunjukkan wajah seekor singa kelaparan apabila sedang marah sahaja. itu pun cuma beberapa kali semenjak aku yang aku ingat.

Kali terakhir adalah ketika aku terkantoi menghisap rokok di belakang surau dengan Epol beberapa tahun dulu. Waktu tu bukan sahaja wajah abah bertukar menjadi singa jadian, malah hujung-hujung jarinya juga ditumbuhi kuku tajam, siap sedia untuk mencarik-carik pipi mengkal aku.

Petang tu aku tak berani berkata apa, malahan bertentang mata dengan abah juga aku kecut. Aku cuma mampu menelan air liur perlahan-lahan. Jelas, air liur aku begitu pahit sekali.

Walau pun masalah ini bukan berpunca daripada aku, tetapi aku bimbang kalau-kalau abah akan mengungkit kesilapan aku minggu lepas. Kesalahan yang menyebabkan bampar kereta abah tertanggal akibat tersangkut dengan hendal basikal usu yang diikat dengan tiang ampaian. Masa tu abah cuma mengerutkan dahinya, tapi mana tahu kerutannya minggu lepas akan bertukar menjadi penampar di pipi aku.

"Kau jangan main-main along. Cuba kau terus-terang dengan abah sekarang. Apa yang Meen dah buat sampai kau tak puas hati sangat? Tak cukup baik lagi ke dia?" Abah bersuara setelah beberapa minit berselang. Kak long yang duduk bersimpuh segera memandang ke arah abang long. Mungkin juga mengharapkan jawapan yang sama, sama seperti abah dan juga kami semua.

"Bukan macam tu bah.." bergetar suara abang menjawab.

"Kalau bukan, apa dia?" tersentak aku dengan sergahan abah. Tona suaranya begitu nyaring sekali. Beberapa ekor cicak yang sedang bersembang di celah suis juga turut terperanjat, lantas lari bertempiaran entah ke mana. Yang tertinggal cuma dua biji tahi cicak yang masih basah melekat di punat suis. Nasib la siapa yang bakal hidupkan suis lampu karang. Detik aku dalam hati.

"Abah tengok Meen ni semua bagus. Makan minum engkau anak-beranak dia yang jaga. Anak-anak engkau yang lima orang tu semua terbela. Tak ada abah tengok sampai berkudis kaki, berkerak kulitnya. Kalau sakit demam bila engkau tak ada, tau dia bawak jumpa doktor. Pandai masak. Bekerja. Tu semua nak bantu ringankan beban kau." Abah menyambung. Matanye jelas tertumpa pada tubuh abang long. Cuma abang long aje yang tetap tertunduk ke lantai. Langsung tak bergerak kecuali dadanya yang berombak, menandakan dia masih lagi bernyawa.

"Kau ni memang tak tau bersyukur. Tak tau nak hargai isteri. Kau ingat senang ke nak jadi isteri ni? Apa balasan kau kat isteri kau, kahwin lagi! Macam tu?" Abah meneruskan kemarahannya.

Sebenarnya aku berasa sedikit lega. Paksi kemarahan abah kini tertumpu kepada abang long. Perbuatan abang long berkahwin lain secara rahsia kini telah terbongkar. Aku yakin, abah tak akan teringat akan kes bampar minggu lepas.

Hari ini, satu lubang besar telah pun pecah. Gara-gara tersilap memuat naik gambar mesra ketika berbulan madu di Phuket bersama-sama isteri baru ke atas akaun Facebook, abang long kini berdepan masalah malapetaka. Rahsia yang disimpan selama setahun ini telah diketahui semua orang. Aku sendiri tak tahu menahu akan perkahwinan abang long itu, sedangkan antara empat beradik, kami berdua adalah yang paling akrab sekali.

Abah menegakkan badannya dari sofa. Tubuh kurus keringnya yang dari tadi bersandar di kusyen empuk kini seperti sekeping papan penutup liang lahad yang ditegakkan ke atas tanah. Langsung tidak menarik. Dia menarik nafas panjang, bagaikan mahu menyambung syarahan untuk beberapa jam lagi.

"Lain kali tu, nak kahwin lagi mesti mintak izin dulu. Undang-undang mana kau pakai kahwin senyap-senyap ni? Kalau nak buat senyap-senyap pun, mesti la pandai cover line. Pandai makan, pandai simpan. Tengok macam abah ni, 20 tahun kahwin senyap-senyap takde sorang pun yang tau!!!" Kata abah dalam nada bangga sambil mengunjukkan jari telunjuk dan tengahnya ke arah kami.

Paaappp.... "Mak...!" Kami semua menerpa ke arah emak yang tiba-tiba rebah di sofa...

.
.
.
.
.
.
.
.
.
.


*Heheheee... Cerita ini sekadar rekaan, takde kena-mengena dengan sesiapa pun. Sama ada yang masih hidup atau yang dah meninggal. Sama ada di sini atau di luar negara sana. Sengaja aku up entri suspen sebab nak bagi sejuk sikit suasana. Sekarang ni semua orang sibuk cerita pasal PRU13.

*Walau apa pun, 5hb nanti aku mesti bergegas semula ke sini sebaik sahaja selesai membuang undi. Ada projek besar ma...

*Assalamu 'alaikum. Jangan marah ha...

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

8 comments:

  1. hahahahahah....seyes saya mati2 percaya ini kesah benar...hahaha..cittttt!

    ReplyDelete
  2. Ada lelaki yg kawin dua simpan rahsia sampai mati. Bila kedua2 isteri tiba di hospital utk urus mayat baru tau mereka bermadu...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hahahaa. Macam dalam filem Berbagi Suami...

      Delete
  3. Mula2 nak marah jugak, yela anak dgn bapak sama..kawin curi2.
    Lepas tu nak ketawa pun ada jugak.

    ReplyDelete
    Replies
    1. Tak boleh buat teladan ni...

      Delete
  4. hehe...pandai makan mestilah pandai simpan

    ReplyDelete