Cargo dan Entri Terbaik

12
7:49 AM
SATU



Ini adalah filem pendek terbaik yang aku dah tonton tahun ni. Latar belakang cerita yang biasa kita tengok, tema yang sama jugak iaitu perjuangan seorang bapa membawa anaknya ke tempat selamat ketika zaman serangan zomba. Apa yang membuatkan filem ni terbaik (pada aku) terdapat di penghujung filem ni. Penamat yang menceritakan segalanya. Menamat yang sebenarnya telah memulakan perjalanan mereka sebelum itu.



DUA

Setiap blogger, aku kira pasti akan mempunyai satu (atau lebih) entri yang dirasakan terbaik pernah dihasilkan. Sama la jugak macam aku. Kat bawah ni adalah entri (dari blog terdahulu) yang aku sangat suka dan sentiasa ingat. Sebab aku ambik masa dua hari nak siapkan. Di pertengahan jalan, tiba-tiba mata aku berair.

Fuh, dalam hati ada taman bunga rupanya aku ni. Sigh!

~~~~~

Isha melabuhkan punggungnya di atas sofa, bersebelahan dengan bapanya. Bapanya yang sedang tersandar pada kerusi malas sejak tadi seakan hampir terlelap, segera membuka mata melihat ke arah Isha, puteri sulungnya. Gerak laku anaknya itu sedikit mengejutkannya daripada lamunan.

"Kenapa abah sering membeza-bezakan antara kami dua beradik. Abah kerap kali memuji kebaikan Khalish di hadapan orang lain, di hadapan saudara-mara, di hadapan para tetamu rumah ini. Tetapi abah tidak pernah sekali pun memuji apa pun kebaikan Isha," rungut Isha pada bapanya dengan tiba-tiba.

"Abah juga ada memuji kamu, mungkin kamu yang tidak perasan. Atau abah hanya memperkatakan tentang kebaikan kamu ketika kamu tiada. Maaf, kalau abah membuatkan kamu berkecil hati," jawabnya.

"Ah, abah memang macam tu. Sejak Khalish lahir lagi, abah dan ibu selalu melebihkan dia daripada Isha. Dia selalu mendapat barang permainan yang dia mahukan, tetapi Isha hanya diberikan permainan yang tidak lagi dia mahukan. Abah dan ibu kerap bingkas bangun dengan segera tiap kali mendengar dia menangis tak tira pada waktu apa sekali pun, tetapi Isha sering dibiarkan menangis sendiri hingga bengkak mata dan serak suara. Dahulu walau pun keputusan peperiksaan Khalish tidaklah seberapa, tetapi abah tetap memuji keputusannya seolah-olah dia telah menjadi pelajar cemerlang di sekolahnya. Ketika di asrama, abah dan ibu kerap mengunjunginya walau pun asrama Isha lebih dekat berbanding asramanya. Serta sering juga dibekalkan dengan makanan dan pakaian hingga tak habis digunakan. Ketika menghantarnya ke lapangan terbang sebelum dia berangkat melanjutkan pelajaran, Isha lihat abah tak henti-henti mengalirkan air mata. Kesihatan abah terganggu dan melarat hingga beberapa kemudiannya. Apakah abah lebihkan sayangkan Khalish berbanding Isha? Apa kurangnya Isha sebagai anak abah dan ibu? Walau pun Isha tak mampu menjawat jawatan tinggi seperti Khalish kerana pendidikan Isha yang tak memuaskan seperti abah dan ibu harapkan, tetapi Isha tak pernah mengingkari setiap permintaan abah. Segala makan minum, keperluan harian, pakaian dan tempat tinggal telah Isha perkemaskan untuk abah dan ibu bersesuaian dengan kemampuan kewangan yang Isha ada sekarang. Apakah itu juga gagal melekatkan kasih sayang abah kepada Isha?" soal Isha panjang tanpa memberikan peluang untuk bapanya menjawab satu persatu soalannya itu.

Bapanya hanya menghembuskan nafas panjang dan dalam, membiarkan anaknya itu menanti dalam suasana hening petang Ramadhan.

"Abah..." panggil Isha seakan mendesak soalannya dijawab.

Panggilan dan desakan Isha tidak dijawab. Abahnya hanya mampu merenung anak-anak jiran mereka leka bermain di luar pagar sana. Suasana antara mereka semakin sunyi.

Beberapa tahun berselang.

Masih di rumah yang sama dan ruangan yang sama. Isha datang perlahan-lahan mendapatkan abahnya dengan tangannya menatang secawan air minuman. Air kosong. Hanya itu yang dipinta oleh abahnya sebentar tadi.

"Abah, ini airnya," kata Isha sambil meletakkan minuman itu di hadapan abahnya. 

"Isha, duduk sekejap," sebaik berpaling untuk masuk ke dalam rumah, dia dipanggil oleh bapanya membuatkan langkahnya terganggu.

"Ya, abah..." balasnya sambil duduk perlahan di sebelah abahnya. Juga masih dalam kedudukan yang sama.

"Lebih dua puluh tahun dulu, abah pernah merasa bahawa abah adalah lelaki yang paling bertuah. Paling disayangi tuhan kerana Dia telah meminjamkan abah sesuatu yang abah tak dapat cari di mana-mana tempat lain dalam dunia ni," abahnya memulakan bicara tanpa sebarang tanda pengenalan.

"Abah telah mendirikan perkahwinan selama lebih tujuh tahun dengan ibu kamu. Selama itu, rumah ini, hidup kami hanya dihuni oleh kami berdua. Tiada orang lain untuk mengisi ruang-ruang kosong antara dinding-dinding rumah ni. Tapi pada suatu hari, abah bagaikan mahu melompat kegilaan bila ibu kamu menyampaikan satu berita gembira yang abah tunggu-tunggu. Berita yang abah jangka takkan abag terima lagi memandangkan usia perkahwinan kami sudah begitu lama.

Sembilan bulan kemudian, satu seksaan yang amat pedih telah abah lalui buat pertama kalinya dalam hidup abah. Jiwa abah telah diseksa dan disakiti dengan satu dugaan yang maha berat walau pun abah masih lagi belum bergelar bapa. Ketika itu, 48 jam ibu kamu berada di dalam wad kecemasan kerana dia menghadapi masalah untuk melahirkan anak sulung kami. Waktu itu, abah tidak pandai mengalirkan air mata kerana terlalu sibuk mencari-cari jalan penyelesaian kepada masalah kewangan supaya dapat menampung perbelanjaan pembedahan ibu kamu yang pasti memakan ribuan ringgit. Selama dua malam berturut-turut, abah hanya lena seketika di atas lantai hospital dan langsung tidak menjamah sebarang makanan. Cuma tegukan air paip ketika wudhu' yang mampu melegakan keperitan tekak abah. Abah tahu, ketika itu terdapat dua nyawa yang amat memerlukan perhatian abah, sebagaimana abah amat memerlukan mereka terus selamat dan kembali ke dalam dakapan abah.

Syukur alhamdulillah, dugaan itu abah rasakan cuma berlalu sebentar bila abah melihat ibu kamu diusung keluar dari dewan bedah dengan sesusuk tubuh comel dalam dakapannya. Waktu itulah, abah mulai menangis buat pertama kalinya. Abah rasakan, semua objek yang ada di sekeliling abah pudar dengan tiba-tiba. Semakin lama semakin sayup meninggalkan abah. Cuma yang abah nampak di depan mata adalah seorang bayi yang sangat comel. Demi tuhan, kuasa Allah memang tak dapat abah bayangkan bentuknya bila melihat bayi itu tersenyum tanpa diusik walau pun matanya terpejam rapat. Mungkin dia sedang mengucapkan salam rindu kepada orang yang tidak pernah dia jumpa tetapi selalu dekat dengannya.

Pertama kali abah menyentuh kulit bayi itu, segala keegoan abah sebagai seorang lelaki tiba-tiba lumpuh dan mencair seolah kelembutan pipi, dada, lengan dan kaki bayi itu mempunyai satu kuasa magis. Amat dahsyat hingga mampu mematahkan kekentalan hati lelaki abah. Sekali lagi abah menangis. Dalam tangisan itu, abah telah menanamkan satu janji supaya abah sanggup meletakkan segalanya di hadapan termasuk nyawa abah sendiri semata-mata mahu melihat bayi itu membesar dengan sihat dan selamat.

Sesampainya di rumah, perkara pertama yang abah lakukan selain mengemaskan tempat tidur untuk si kecil itu adalah mencukur misai dan janggut dengan selicinnya. Ibu kamu hanya mampu tertawa kecil melihatkan perlakuan pelik abah. Abah tak kisah, apa yang abah tahu abah takkan sesekali menyakiti kulit lembut bayi itu dengan cucukan pedih daripada misai dan janggut tatkala abah mencium pipinya."

Mata Isha terpaku memandang riak-riak air kosong di dalam cawan abahnya sambil telinganya terus dilekapkan pada butir-butir perkataan yang keluar dari mulut abahnya.

"Malam itu, abah langsung tak tidur kerana abah amat mengagumi pinjaman tuhan yang satu ni. Abah rasakan, abah perlu mulai menerima kenyataan bahawa orang yang abah tunggu sekian lama telah benar-benar wujud di depan mata abah buat abah dukung, timang, cucikan najisnya, dan ajarkannya bertatih kelak.

Masih teringat lagi bagaimana jari-jari kaki bayi itu yang secantik butir-butir manik kristal memijak kedua-dua kaki abah sambil jejari comelnya menggenggam ibu jari abah pada suatu petang. Itulah kali pertama bayi itu belajar berjalan. Kali pertama tapak kakinya mula melangkah. Demi tuhan, abah takkan menukarkan saat-saat manis itu dengan apa pun di dalam dunia ini jika ditawarkan. Bagi abah, saat itu terlalu bermakna dan tidak ternilai harganya untuk ditukarganti.

Enam tahun kemudiannya, sekali lagi abah tak dapat melelapkan mata pada suatu malam. Abah sangat bimbang apa yang anak itu bakal tempuhi keesokan harinya apabila kali pertama dia melangkah ke sekolah. Adakah dia mampu duduk bersama anak-anak lain yang tidak dia kenali. Adakah dia tidak menangis apabila tidak melihat abah di sisinya. Mampukah dia bermain bersama anak-anak yang lain tanpa abah menemani. Adakah dia pandai beratur di kantin untuk membeli makanan sambil berebut-rebut dengan anak-anak lain tanpa abah mendukungnya. Adakah dia bakal tenggelam di dunia luar rumah. Sesunggunya, abah tak akan sanggup melihat dia duduk ketakutan sendiri. Hingga pagi abah tak mampu melelapkan mata."

"Isha..." mata Isha melirik ke arah wajah orang yang memanggil namanya. Genangan air mata sudah semakin jelas berkaca di kelopak matanya. Terkebil-kebil dia menahan agar tidak jatuh berjurai.

"Petang esok, kamu bakal dinikahkan dengan lelaki yang kamu pilih. Lelaki yang abah yakin mampu menggantikan diri abah sebagai pelindung kamu, sebagai peneman kamu. Bukan hanya menemani kamu bermain atau ke sekolah ketika kecil, tetapi juga orang yang dapat meminpin tangan kamu ke pintu syurga. Ketahuilah bahawa, kamu adalah anak kesayangan abah sejak kali pertama abah melihat kamu tersenyum ketika kulit kamu masih merah di dalam dakapan ibu kamu lebih dua puluh tahun lalu. Tiada apa pun yang dapat menandingi rasa bangga abah kerana memiliki kamu sebagai anak abah. Biar pun kamu tidak mampu mengejar cita-cita menjadi orang besar, biarkan kamu hanya dapat menyediakan kehidupan serba sederhana buat abah dan ibu sebagai balasan, biar pun abah selalu gagal memenuhi kemahuan kamu sejak kamu pandai bercakap, tapi percayalah... Kamu adalah kesayangan abah sampai bila-bila.

Kesayangan dan kebanggan abah..." perlahan abahnya menamatkan bicara.

"Abah!" Isha bingkas menerpa ke arah abahnya dan memeluk lutut lelaki tua itu sekuat-hatinya sambil menangis teresak-esak...

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

12 comments:

  1. ****mata saya masuk habuk.......****

    ReplyDelete
  2. Saya seorang yg sangat malu utk mengakui pernah menangis, tapi pernah juga menonton filem yg membuat air mata keluar. Peliknya ia bukan filem Hindustan, apa lagi filem Melayu, tapi filem Inggeris....

    ReplyDelete
    Replies
    1. Saya pernah meleleh air mata tengok filem Cinta (kabir bhatia) part rashidi nak pisah dengan anaknya.

      Delete
  3. pandainya tulis cerita ni..mmg menyentuh rasa..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Copy & paste dari entri lama je ni...

      Delete
  4. macam menarik jer cerita nie..kat mana bro tengok..bagi saya tiada yang salah jika kita menitiskan air mata baik lelaki ataupun wanita..

    Regards,
    -Strider-

    ReplyDelete
    Replies
    1. Cerita zombie ni jumpa kat youtube, mungkin calon untuk festival filem kat australia sana...

      Delete
  5. KENAPA TAK TERBITKAN CERPEN ATAU NOVEL? ADA BAKAT..

    ReplyDelete
    Replies
    1. Ada satu cerpen (kononnya) yang aku buat, tapi dah tiga tahun tak siap-siap. Hahahaa...

      Delete
  6. bagi IM, semua entri dalam blog IM adalah terbaik kerana ianya kisah dalam hidup IM sendiri...

    ReplyDelete
    Replies
    1. Hehee. Blog saya pulak macam rojak buah. Campur2 da...

      Delete