Susu, satu fiksyen ulangan...

11
11:58 AM
~Satu fiksyen yang pernah aku kongsi dulu. Teringat kembali tentang cerita ni selepas terbaca akan kisah penjenayah besar yang berdepan hukuman dua tahun penjara. Salam Jumaat semua...

Dup...! Aku menepuk keras daun pintu dengan permukaan tapak tangan aku. Terasa sedikit kebas mulai menjalar hingga ke siku beberapa saat sebaik aku menggenggam erat dan mengepal-ngepal buku lima. Aku usap-usap lagi tapak tangan aku dengan sedikit menekan buat menghilangkan rasa pijar yang memanaskan urat saraf sekitar pergelangan tangan. Sehabis dielus, aku mengusap-usap kepala sambil memicit-micit sedikit agar bungkaman bingung di dalam dasar kepala otak aku dapat mencair.

Fikiran aku semakin kusut sejak beberapa jam yang lalu. Entah sudah berapa lama aku duduk bertinggung di muka pintu ini, aku tak pasti. Yang aku pasti, udara suam pagi sudah bertukar menjadi sedikit ganas di luar sana. Suara-suara sayup dari surau berhampiran sudah lama tidak kedengaran. Mungkin para jemaah semuanya sudah beransur pulang ke rumah masing-masing. Gelas kecil berwarna jernih berisi air suam di antara celah kangkang aku kelihatan berkocak sedikit ketika daun pintu itu aku tepuk sebentar tadi. Isi perutnya sudah tidak suam lagi. Tidak pula sejuk. Hanya mengadaptasikan diri mengikut suhu persekitaran.

Hanya inilah yang tinggal di dapur. Tiada lagi gula yang berbaki walau pun sebutir. Tiada lagi serbuk kopi yang menjadi kegemaran aku sejak sekian lama. Entah, kalau tak silap aku mungkin bekas kopi di atas para telah kosong sejak tiga atau empat bulan yang lalu. Dan tiada juga serbuk teh yang tersisa walaupun sesudu kecil untuk dibancuh menjadi sekole teh o nipis buat menghangatkan tembolok.

Dari bertinggung, aku melabuhkan punggung aku di birai pintu, tetap mengadap ke luar sana. Aku kendurkan sedikit kaki kanan dan kiri aku silih berganti beberapa kali. Lega. Kekejangan yang melingkari urat kaki aku mulai samar. Hmmm... Aku melepaskan desahan nafas yang panjang. Namun tidak cukup untuk meleraikan kekusutan yang kini sedang galak bersarang di dalam benak aku.

Sebaik lirikan mata aku dilarikan dari jalan besar di luar sana ke dalam perut gelas yang jernih, serta-merta aku teringat akan dapur aku yang semakin sepi daripada bunyi ketukan sudip memukul kuali. Dahulu, dapur itu seakan menjadi nadi yang menggerakkan denyutan kasih sayang kami empat sekeluarga. Pasti riuh dengan suara kakak menjerit-jerit meminta pesanan bagaikan seorang tukang masak restoran tepi jalan, ketika dia sebenarnya sedang mengajuk ibunya yang sibuk memasak. Tak ketinggalan juga sekali-sekala disulam dengan suara tangisan si adik apabila diusik oleh si kakak.

Tetapi semua itu seakan terhenti sebaik aku dibuang kerja lebih dua bulan yang lalu atas alasan yang tak masuk akal. Untuk mengurangkan perbelanjaan atas sebab pesanan yang semakin kurang, kata branch manager aku pada satu petang tu. Sialan! Dasar penipu. Kebetulan pagi esoknya ketika aku datang untuk mengambil gaji terakhir, aku melihat sebuah van yang sarat dengan hampir sepuluh orang lelaki berwajah asing memuntahkan isinya betul-betul di depan pintu utama kilang. Dan kebetulan juga, aku dapat mengecam sebuah kereta import dengan nombor pendaftaran baru mengisi ruang parkir khas untuk general manager. Sialan!

Kita cuma mentimun, kalau depa nak berhentikan kita, apa kita boleh buat? Hang terima je la! Begitu lebih kurang kata-kata Abang Jai sehari sebelumnya. Aku terpaksa akur dengan keputusan pengurusan tertinggi yang mahu menggantikan khidmat aku dengan tenaga dari luar. Tetapi mereka masih lagi berdolak-dalih tentang alasan sebenar aku diberhentikan. Bukan sahaja aku, tetapi beberapa orang yang menerima nasib sama seperti aku juga turut tak berpuas hati.

Sejak itu, tiada lagi ikatan sayur bayam yang menjadi kegemaran kakak mengisi ruang istimewa di dalam peti sejuk second hand di dapur. Begitu juga sayur berdaun yang lain. Sudah lama tidak kelihatan. Dan tiada ikan selar kuning yang biasa menghuni bersama-sama beberapa jenis sayuran lagi. Selain ikan yang boleh aku beli penuh satu plastik dengan harga hanya RM3 itu, ikan kerisi yang sudah pecah isi perutnya juga sering aku hadiahkan untuk si dia hampir setiap kali tibanya hari sabtu. Lauk hari minggu... Kata aku sambil tersenyum kepada dia. Walau apa pun yang aku hulurkan, dia tetap menyambutnya dengan wajah yang sama cantiknya seperti kali pertama aku lihat beberapa tahun dulu. Cuma bezanya, kali ini kerut di halaman wajahnya semakin bertukar menjadi kedut-kedut usia.

Bila terkenangkan semua kesusahan yang dia kongsi bersama aku sejak sekian lama ni, hati aku mulai sayu. Seorang yang cantik dan bijak tidak sepatutnya menerima nasib yang malang seperti ini. Hampir setiap malam, sebelum melelapkan mata aku akan diselubungi dengan perasaan bersalah terhadap dia. Selayaknya dia mengecapi hidup yang lebih nikmat berbanding apa yang dia miliki sekarang. Mendiami sebuah rumah setinggan di tepi sebatang sungai bersebelahan sebatang lebuhraya yang sesak, tidak mempunyai pekerjaan tetap yang layak dengan kelulusan. Hanya sesekali mengambil upah menjaga budak kecil dengan bayaran RM30 seminggu, atau pun mengambil tempahan menjahit baju raya dari jiran-jiran sebelah. Tetapi sekarang bukanlah waktu yang sesuai untuk orang lain mengupah dia menjahit baju. Hari raya sudah lama berlalu.

"Abang, macamana... Kesian tengok kakak. Malam tadi dia asyik menangis je. Last-last saya bagi je air suam. Tu pun lambat nak pujuk. Si adik takpe, sebab masih boleh menyusu badan." Tiba-tiba khayalan aku terputus. Aku berpaling ke arah dia yang duduk bersimpuh tak jauh dari aku sambil menepuk-nepuk si kakak yang sedang lena. Pandangan matanya sayu. Tepat menusuk jantung aku melalui bebola mata aku.

Dengan kedudukan mengiring ke kanan, tubuh kecil si kakak dilapik dengan sehelai kain pelikat lusuh buat pemisah antara kulit halus si kakak dengan permukaan lantai ruang tamu rumah aku. Keseluruhan rumah kecil ini, lantainya langsung tidak beralaskan tikar getah. Hanya sebidang tikar mengkuang  yang berlubang di tengah-tengah menjadi hamparan dapur buat kami sekeluarga menjamah nasi berlauk kicap malam tadi. Kaki kecil dengan beberapa lebam kesan gigitan nyamuk sudah semakin keding. Jari-jari kaki si kakak bergerak-gerak sedikit menandakan tindakan refleks yang terhasil apabila seekor lalat hinggap di hujung ibu jari kakinya. Geli agaknya. Kedua-dua kakinya bertindan antara satu dengan lain, dengan kaki kanannya berada di bawah. Dadanya berombak perlahan-lahan mengikut rentak nafasnya. Tiada lagi esakan dan sedu kecil sepertimana mula-mula dia melelapkan matanya malam tadi. Dapat aku kesan, esakan dan seduan itu mengambil tempoh hampir ke subuh untuk surut.

Aku lihat, mata si kakak terpejam kurang rapat. Kelopak matanya tidak bertaup antara satu sama lain dan kelihatan anak matanya bergerak-gerak sedikit. Tapi aku pasti, anak kecil berusia tiga tahun itu masih lagi lena dibuai mimpi sejak malam tadi. Mungkin matanya yang tak rapat itu disebabkan kegagalan dia mendapatkan apa yang dia mahu sebelum tidur. Aku renung dalam-dalam raut wajah si comel itu. Wajah yang kadang-kala menahan tangis setiap kali menerima tengkingan kasar aku, akibat terlalu degil meminta itu dan ini. Tengkingan yang diterima dari abah yang sedang diselubungi nafsu amarah.

Pagi ini, nafsu amarah itu langsung memencilkan diri jauh dari hati aku. Ruang kosong itu diisi dengan perasaan belas yang teramat sangat. Dan kemudiannya bertukar menjadi hiba. Kedua-dua mata kakak yang lebam aku usap dengan pandangan yang penuh kasih sayang. Usapan yang membisikkan seribu janji untuk membahagiakannya sampai bila-bila. Aku tau, tak mungkin si kecil ini mengerti akan janji yang aku tanamkan andai aku luah dalam bentuk kata-kata. Sebab itu, semalam bibir munggil ini telah membiaskan kata-kata yang cukup memeritkan untuk aku telan mentah-mentah.

Babah jahat, tak mau beli susu kakak. Aku hampir terduduk mendengar kata-kata sepahit hempedu dari mulut yang baru pandai bercakap pelat itu. Hmmm..... Aku mengeluh lagi. Mengeluh mengenangkan kegagalan aku mengotakan janji aku terhadap si kakak saat pertama kali aku mengucup dahi selang beberapa minit selepas dia dilahirkan dulu.

"Nanti la abang belikan. Mungkin hari ni dapat gaji. Dapat la beli lauk sikit. Kakak pun dah lama tak makan bayam tumis air. Adik dah boleh bagi bubur nasi kan? Nanti abang belikan sekali kentang, boleh campur dalam bubur tu." Aku menjawab soalan dia sambil memalingkan kembali muka ke halaman rumah.

"Abang dah dapat kerja ke? Oh, yang selalu tu abang pergi kerja ye, kat mana?"Soalnya lagi.

Aku hanya mampu tersenyum. Senyuman yang tidak memberikan apa-apa makna dan kesan langsung kerana senyuman itu aku telah sembunyikan dari pandangannya. Tidak! Tak mungkin aku akan membiarkan dia membaca penipuan yang sedang aku rancang ini. Aku tak mahu dia kecewa dengan aku sebagaimana si kakak semalam.

Aku rasakan seolah terdapat cecair hangat yang menyusur turun melalui permukaan pipi kiriku. Agaknya genangan air mata yang aku tahan dari tadi tak dapat lagi aku empang. Berderai sedikit demi sedikit. Seksa. Sungguh menyeksakan apabila air mata yang mengalir sebegini lesu juga tak mampu aku kesat kerana aku takut dia menyedari kehadiran cecair derita ini.

Memang sejak hampir seminggu ini, aku menjalani rutin siang yang sekata. Keluar pagi lebih kurang pada waktu begini dan pulang pada lewat petang. Hampir menyamai rutin ketika aku masih bekerja di kilang moulding dua bulan lalu. Tapi yang membezakan antara aku dua bulan dulu dengan aku yang sekarang adalah, kerja. Sekarang aku magih gagal mendapatkan sebarang pekerjaan. Semua rutin harian yang aku jalankan cumalah bertujuan tidak mahu membuatkan kerisauan si dia berpanjangan. Biarlah dia menganggap aku telah berjaya mendapatkan bekerjaan. Sekurang-kurangnya dia mempunyai cerita yang boleh disampaikan kepada si kakak. Supaya si kakak dapat mengharap aku bakal pulang membawa susu buatnya. Biarlah. Biarlah mereka tertipu dengan tindak laku aku asalkan mereka dapat mengecap nikmat satu pengharapan walau pun untuk beberapa ketika cuma.

Bukannya aku berkira atau memilih pekerjaan, tapi semua usaha aku ketika meredah tempat-tempat manusia berkumpul mencari rezeki menemui jalan buntu. Tiada satu tempat pun yang sudi menawarkan peluang untuk aku menumpahkan keringat. Aku tak berkira. Tidak kisah walau kerja apa pun yang ditawarkan, asalkan halal.  Tetapi kebuntuan yang membungkam kepala aku sama tebalnya dengan rasa kecewa yang aku rasakan. Kecewa dengan tindakan mereka yang lebih gemar mengupah orang luar.

Sekali lagi perumpamaan mentimun yang Abang Jai sebutkan dulu melintas di dalam kepala. Kalau mereka tak sudi menerima aku sebagai pekerja, apa lagi yang aku boleh buat? Aku hanya sayuran kecil yang amat nipis kulitnya. Mustahil untuk aku menahan diri daripada terluka tatkala mereka menindih tubuh aku, dan mustahil juga aku dapat menggolekkan badan aku ke atas mereka tanpa tercalar sedikit pun.

Di bengkel welding sudah, restoran mamak pun sudah. Semuanya sudah penuh, kata mereka. Apatah lagi pusat cucian kereta yang juga sudah dimonopoli oleh pekerja dari seberang laut sana. Begitu juga keadannya di gudang sebuah pasaraya yang aku singgahi minggu lalu. Masih sukar untuk melihat kelibat pekerja yang berkulit sama seperti aku. Sialan!

Sebagai parti yang telah diberi kepercayaan selama 50 tahun, rakyat sepatutnya bersyukur kerana kami telah berjaya membela nasib rakyat sehingga terhapus golongan miskin di negara ini. Taraf hidup rakyat juga semakin meningkat dan terdapatnya peluang kerja yang seiring dengan kepesatan ekonomi.

Itulah antara ayat yang aku ingat tercetak di muka hadapan sebuah akhbar arus perdana di kedai runcit seberang lebuhraya sana. Ketika itu, bibir aku hanya mampu mengukir senyuman tawar. Hanya senyuman tawar dan kosong, tak lebih dari itu. Namun, rasa kecewa di dalam hati aku waktu itu mampu sahaja menggerakkan otot-otot tangan aku untuk membaling botol kicap yang aku pegang kemas di tangan kanan. Akan aku bayangkan cecair hitam pekat berjenama murah ini menyimbahi wajah sang pemerintah yang mengeluarkan kata-kata itu. Pekatnya semakin bertambah apabila bercampur dengan darah yang mengalir dari kepala mereka itu. Rasakan, biar kau rasakan kesakitan yang aku pikul sekarang. Kesakitan yang mewakili tangisan anak kecil aku saban malam.

Hmmm....Sekali lagi aku melepaskan keluhan yang dalam. Tangan kanan aku menyeluk ke dalam saku seluar jeans yang lusuh tercari-cari sesuatu.

Jumpa. Sekeping not RM10 yang aku pinjam dari Abang Jai petang kelmarin masih belum aku gunakan. Hanya itu yang mampu aku pinjam, RM10. Rasanya tak mampu lagi aku meminjam wang dari Abang Jai yang kini bekerja mengikut lori sampah. Walau pun dia tak kisah, tapi aku kisah.

Walau kawan-kawan aku yang lain tak kisah, tapi aku tetap kisah. Bukan sahaja dengan kawan-kawan, malah aku juga sudah jenuh meminjam dari adik aku seorang cikgu tadika walau pun dia jarang memberikan jawapan menghampakan. Aku rasa, sudah cukup setakat itu aku menadah tangan di hadapan mereka. Tak sanggup lagi aku menjadi pengemis terhormat seperti itu lagi.

Not RM10 itu aku genggam kemas di dalam poket. Poket kanan aku kini mengembung dengan genggaman tangan aku. Pada perkiraan kasar aku, wang ini begitu besar nilainya sehingga boleh aku gunakan untuk membeli sekampit gula dan seikat sayur bayam kegemaran kakak petang nanti. Tapi, bagaimana dengan susu?

Serta-merta aku bingkas bangun. Secara tiba-tiba aku sudah mendapat bayangan ke mana arah tujuan aku pagi ini. Kali ini aku nekad. Aku nekad takkan membiarkan kakak tidur dengan mata bengkak lagi...

"Abang dah nak pergi kerja ye?" Tanya si dia dari dalam apabila menyedari aku sudah beberapa meter meninggalkan pintu rumah.

Aku tidak menjawab, hanya menoleh ke arah kakak yang masih tidak bergerak. Di dalam hati, aku membisikkan satu nekad berserta janji buat si kecil itu.

Kakak, petang nanti abah balik bawa susu...

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

11 comments:

  1. Aku nasihatkan, bini watak utama ni kena kerja. Sbb pakcik ah jib mmg bt2 buta mata je dgn kesusahan rakyat. Apa die pedulikkk???

    ReplyDelete
    Replies
    1. atau pun join puteri umno, cerah masa depan...

      Delete
    2. eh, ter`lazer' pulak. maaf kepada yang berkenaan (atau tercuit), tak terniat menyinggung. aku komen secara umum je. mungkin akan datang ada sambungan kot...

      Delete
  2. Betul gak tu, isteri join putri Umno, suami pula join putra Umno, memang cerah sangat2 masa depan. Nak cerah lagi masa depan cuba-cuba bertanding Ketua Bahagian atau Timbalan Ketua Bahagian....

    ReplyDelete
    Replies
    1. hehe, pada saya kita semua akan ada kelebihan kalau ada penglibatan dalam mana2 pun parti politik. lebih2 lagi parti yang jadi pemerintah dan jugak ada jawatan...

      Delete
  3. ADAKAH IA BERKISAR PADA KISAH BENAR?

    ReplyDelete
    Replies
    1. rekaan je bro. dua tahun lepas punya cerita...

      Delete
  4. panjang kisahnya..
    macam2 kehidupan skarang ye..
    ehehee

    ReplyDelete
  5. seb baik kau awal-awal lagi letak fiksyen kat situ. tak la aku menggagau ingat itu kisah benar.

    aku kagum dengan tekad abah. nak bawak balik susu untuk kakak. cuma aku harap abah dapatkan susu itu dengan cara yang betul.

    ReplyDelete
    Replies
    1. kali ni nasib baik kau perasan perkataan `fiksyen' tu...

      Delete