Shine Your Way

12
5:24 PM
Memang power betul la budak nama Yuna ni, walaupun dia cuma `featuring' je untuk lagu yang digunakan dalam filem The Croods. Bukan senang wei tokey besar dalam bidang animasi macam Dreamworks nak ajak duduk ngeteh sama table dengan diorang...


Dah, aku nak balik ni. Hujan pun dah berhenti...

12 nasihat berguna:

Dead Memories

8
5:11 PM

How to become a good citizen? Ok, mungkin si SirColonelMelvin ni mempunyai jawapannya.


Aku kurang bersetuju bahawa penampilan fizikal tu mempengaruhi 100% berkenaan baik atau buruknya kita. Cuma sedikit sahaja kesannya. Langsung tidak meletakkan sama ada kita itu baik atau jahat. Berkongsi pandangan yang sama dengan o0JoelSpillz0o.

Tetapi apabila menyentuh bab aurat, seboleh-bolehnya aku memang tak akan berkompromi...

*Maaf, ini cuma pandangan peribadi aku je. Mungkin betul, mungkin juga silap.
*Sumber dari Youtube, klik sini.
*Esok dah hari Jumaat da...

8 nasihat berguna:

ICT Md Ali

10
10:17 AM
Dulu masa bos korang datang, dia komplen apasal asyik makan kuih yang banyak boleh dapat kat KL. Tapi lepas je aku bawak dia makan kat sana, tersenyum dia sampai nak balik. Senang hati. Masa makan tu pulak, memang bersungguh-sungguh la orang kata.

Md Ali ni adalah driver aku masa aku pergi Kuala Terengganu minggu lepas. Memang ramah. Kalau rajin ajak sembang, memang tak cukup tanah nak melayan dia. Pendek kata kalau perjalanan dari Johor Bahru ke Bukit Kayu Hitam pun dia boleh steady je bercakap. Pun begitu, masih lagi ramah di tahap yang sederhana. Bukannya tahap yang annoying.

Ala, apa bagi padam. Hisap dalam sini la.

Kata dia dari dalam kereta bila dia nampak aku cepat-cepat padamkan api rokok sebelum masuk kereta. Gila kau nak hisap rokok dalam kereta projek. Kereta baru pulak tu. Buatnya geng-geng bos yang tak hisap rokok dapat bau, tak ke kena tibai karang?

Tapi brader Md Ali ni rilek je offer hisap rokok dalam kereta.

Masuk petang hari ke tiga, sorang technician kat sana bawak aku pergi satu port makan yang dimaksudkan. Berdekatan dengan airport, kampus UMT dan jugak kem RAMD batalion ke entah berapa aku dah lupa, tempat ni memang syok gila. Duduknya betul-betul tepi laut. Pantai Mengabang Telipot namanya.

Sebelum kami sampai tu, sempat jugak berhenti depan rumah Md Ali (beberapa ratus meter dari tempat kejadian) ajak dia makan sekali. Bereh. Kejap lagi aku sampai naik moto!

Masa sampai tu dalam pukul 4 lebih, cuma ada empat buah kereta je yang parking kat depan warung (atau restoran? atau kedai makan?). Tapi tak aku sangka, sejam lebih kemudiannya berjujuk pulak kereta yang parking kat situ, dua-dua belah jalan.

Tengok kedai tak la gah macamana pun. Dengan dinding dan tiang kayu, atap asbestos. Tapi pelanggan mengalahkan KFC kat rumah aku bila nak bukak puasa. Mungkin itulah identiti kot. Sengaja owner ni tak nak renovate lebih-lebih.

Ohya, ICT yang aku maksudkan tu datangnya daripada perkataan `ikan celup tepung'. Makanan yang famous kat sini. Sebut je, hampir semua orang Kuala Terengganu yang siuman boleh tolong tunjukkan arahnya. Selain ikan, ada jugak sotong, udang dan keropok lekor. Apa pun, sotong petang itu adalah juara sebenar.

Bersaiz gadang, hampir menyamai pergelangan tangan aku. Dicelup dengan tepung sebelum digoreng, tanpa dipotong terlebih dahulu. Bila nak makan barulah pelanggan potong sendiri guna gunting. Unik? Ya, pada aku ini semua memang unik. Cara makan kat sini dah macam aku makan pisang goreng pulak.

Seperti mana yang Md Ali bagitau, isi sotong ni jadi lembut (tepung rangup) adalah disebabkan cara penyediaannya selain kesegarannya. Aku tak heran pun, sebab negeri pantai timur ni memang kaya dengan hasil laut sejak dulu.

Ini baru pusingan pertama. Sepatutnya sotong ni orang lain punya, tapi disebabkan Md Ali adalah kenalan owner ni (sekampung), kami yang dapat dulu.

Tu dia, tak nak ramai pulak orang yang makan kat sini.

*Tulisan dengan huruf italic adalah dalam loghat Terengganu.
*Lokasi GPS kedai ni, Lat: 5°25'40.368", Long: 103°04'22.692”

10 nasihat berguna:

Baden Baden

18
11:49 PM
Aku memang kaki bundle sejak dulu. Walau pun aku ni bukan la arif sangat pasal jenama, tapi barang-barang bundle ni kerap memberikan aku kepuasan. Menang membeli, menang memakai. Asalkan tak salah pilih.

Sebenarnya Baden Baden Bundle ni dah lebih dua bulan (kot) bukak, tapi selalu tak sempat nak usha. Dekat je dengan rumah aku. Setengah minit kalau naik moto laju-laju, atau sejam kalau jalan kaki.

Hasilnya, inilah dia. Niat hati cuma nak cari cargo pants je. Tapi mungkin disebabkan cuaca petang Jumaat (singgah lepas solat) yang bahang membuatkan aku terbeli dua helai tshirt (RM 5 sehelai) dengan sehelai seluar jeans.


Gambar dari Instagram aku.

Seluar tu harga selepas diskaun adalah Rm 15 sahaja. Bila sekali sarung... Pergh! Nyaman...

Satu hal lagi, ada kawan aku bagitau jenama Lee ni biasanya orang-orang tua je yang pakai. Aaarrgghhh! Adakah ini satu lagi tanda-tanda penuaan yang aku sendiri tak sedar?

18 nasihat berguna:

Pesanan

8
9:30 PM
Di antara kita, terdapat pelbagai cara untuk meluahkan atau menyampaikan apa-apa yang kita tak puas hati. Ada yang berkumpul ramai-ramai sambil memegang banner cantik bercetak yang entah siapa yang sponsor sambil menjerit-jerit. Ada yang hantar surat layang kepada pihak tertentu agar orang yang dia tak puas hati tu mendapat akibat. Dan ada jugak yang lebih senang menyatakan apa yang terbuku tu di dinding laman-laman sosial.

Tapi aku ada cara tersendiri untuk meluahkan pendirian atas sesuatu isu tertentu. Inilah dia! Aku tak harap pendirian aku ini dipedulikan oleh sekian orang yang melihat. Cukuplah sekadar mesej yang nak aku sampaikan ni tersebar di merata tempat.

Stiker ni aku dapat dari sini.

Aku harap sesiapa kat luar sana kalau nampak brader kacak yang pakai helmet ni, tak payah la nak langgar dari belakang. Lebih afdhal kalau bagi ucapan salam. Dan kepada para gadis ayu yang rasa yakin diri tu rupawan, tak payah nak tegur lebih-lebih. Jeles pulak `saudari' aku karang!

*Entri sempena Earth Hour
*Maaf, apa yang aku tulis ini tak berkaitan langsung dengan politik.

8 nasihat berguna:

Usahawan

10
11:10 AM

Apa perbezaan antara peniaga dengan usahawan?

Pada aku : peniaga adalah orang yang mempunyai modal sama ada dalam bentuk kewangan, material, tenaga atau idea untuk diberikan kepada pihak lain, bertujuan mendapatkan keuntungan. Itu sahaja...

Pada aku lagi : usahawan pulak adalah mereka yang mempunyai apa yang peniaga ada untuk ditukarkan menjadi keuntungan tetapi tidak berhenti setakat itu sahaja. Bukan sekadar keluar modal, berniaga, dapat untung. Kemudian keluarkan modal daripada keuntungan, berniaga lagi dan dapat untung lagi. Mereka ini juga mempunyai otak ligat yang menjadikan mereka manusia kreatif  yang sentiasa berfikir bagaimana mahu melangkah sepuluh tapak ke hadapan. Tak kira dalam apa bidang sekali pun.

Selain daripada kreatif? Inovatif dan sanggup menghadapi risiko...

Salah satu contoh pemikiran kreatif yang aku maksudkan adalah seperti ini:


Ini adalah kali pertama aku tengok kaedah pembungkusan keropok lekor yang sebegini rupa. Dengan pek vakum. Lebih tahan lama tanpa menghilangkan rasa dengan ketara.

Lokasi kedai, Kampung Bukit Tok Beng, Kuala Terengganu. Tapi aku lupa pulak nak save koordinat GPS, lain kali tak payah tercari-cari lagi...

10 nasihat berguna:

Nasi Dagang

16
9:15 AM

Pernah diberitahu yang nasi dagang kat sini diakui sebagai yang terbaik di Kuala Terengganu. Jawapannya, memang tak silap lagi!
Empat bintang...
Published with Blogger-droid v2.0.9

16 nasihat berguna:

Keropok Lekor

10
1:45 PM

Kali ni aku nak sumbat pakaian ke dalam beg yang bersaiz separuh berbanding sebelumnya, dengan jumlah baju dan seluar yang minimum. Siap dengan berus gigi, ubat gigi, deodorant...

Tapi bila ada orang tanya, "Cukup ke bawak beg kecik macam ni?" sebaik dia berjumpa aku tadi, terus aku teringat...

"Alamak, seluar kecik lupa nak masukkan...!"

Published with Blogger-droid v2.0.9

10 nasihat berguna:

Qistina

8
8:59 PM

Hahahaaa! Macam-macam hal betul la anak buah aku ni. Agak kreatif dan unik jugak la cara dia bercerita dan ekspresikan perasaan.

*Qistina Batrisya, anak kedua daripada tiga beradik. Umur tujuh tahun.

Published with Blogger-droid v2.0.9

8 nasihat berguna:

Twitter

12
10:05 PM

Aku yakin, menatang Twitter ni memang tak sesuai la dengan jiwa aku. Sebab aku rasa lebih seronok nak menaip perkataan dengan ejaan penuh. Lebih-lebih lagi bila kat telefon pun dah ada qwerty pad.

Tahap tak sesuainya aku ni dah sampai kategori bila baca tweet orang lain yang simple pun jadi tak faham. Adakah ini salah satu tanda-tanda penuaan???

Harap tidak, sebab wajah aku dikatakan macam masih lagi berumur awal 20-an!!!

12 nasihat berguna:

GPS Itu Tidak Menyesatkan (entri banyak screen shot)

12
1:11 PM

Beberapa minggu yang agak sibuk buat aku. Cuma sempat membaca beberapa blog je kebelakangan ni. Apa pun, walau pun memainkan peranan kecil dalam membangunkan negara Malaysia ni, aku tetap tak lupa akan hutang yang perlu aku jelaskan sejak tak berapa lama dulu berkenaan dengan GPS (bukan GPRS!). Sebelum ni, aku ada terangkan serba sedikit berkaitan penggunaan aplikasi GPS dan cara nak menggunakannya dengan lebih berkesan di sini.

Tetapi, aku rasa masih ramai lagi pengguna yang baru nak berjinak-jinak menggunakan GPS ni masih lagi tercari-cari macamana pulak cara nak pergi ke sesuatu tempat tu dengan kaedah yang betul dan berkesan. Kat sini aku akan tunjuk sepintas lalu selepas menggodek fungsi-fungsi yang ada dalam aplikasi yang biasa terdapat dalam smart phone iaitu GoogleMap, Sygic dan Waze. Terpulang kepada kita nak gunakan yang mana satu, bergantung atas beberapa faktor.

Situasinya, kita nak pergi ke satu tempat tu contohnya rumah kenduri kahwin mak teh kita, restoran seafood yang famous atau ada family gathering. Tempat tu pulak kita memang dah tau alamatnya berdasarkan maklumat dari sumber yang lain, atau kita dah jumpa dalam peta. Cuma masalahnya, kita tak tau mana laluan yang sesuai nak kita guna. Atau lebih teruk lagi, kita ni seorang yang buta jalan. Nak pergi kerja pun pernah tersesat.

Aku harap, penerangan ringkas ni akan sedikit membantu anda di luar sana. Tambahan lagi, kalau ada sesiapa yang tahu kaedah lain selain daripada yang aku tunjuk ni, jangan la kedekut nak kongsi. Atau pun ada kesilapan dalam penerangan aku, tolong khabarkan. Takde hal punya...

~~~~~~~~~~

GoogleMap

Andaikan kita dah jumpa lokasi sesuatu tempat tu kat atas peta atau setelah carian menggunakan POI. Contohnya Jalan Tasik Prima 3/1. Langkah pertama, tap kedudukan jalan tu selama beberapa saat sampai keluar alamat atau nama jalan. Kemudian tap sekali lagi nama jalan yang keluar tu.


Satu menu baru akan muncul macam gambar kat bawah. Tap pulak kat ikon bintang supaya ikon tu menyala. Tujuannya adalah untuk menandakan lokasi tu sebagai lokasi favorite kita. Gunanya, kita boleh cari semula lokasi ni di kemudian hari.


Lepas tu, katakan la esok atau lusa kita nak cari atau pergi semula ke tempat tu. Bila dah buka aplikasi GoogleMap tu, sentuh ikon Maps kat sebelah atas kiri skrin.


Satu drop down menu akan keluar macam gambar bawah. Sentuh pada My Places.


Satu menu baru akan tubik. Lokasi yang dah kita tandakan (starred) sebelumnya akan keluar. Kalau banyak kita tanda, maka akan berderet la senarai tu. Pilih lokasi yang kita nak pergi.


Satu lagi menu akan keluar. Di sini kita akan diberi pilihan sama ada nak paparkan pada peta atau nak ditunjukkan direction ke sana. Kalau kita sentuh Map, GoogleMap cuma akan tunjukkan di mana lokasi pada peta, sebaliknya sentuh pada Direction, maka aplikasi akan buat calculation laluan yang boleh diambil.


Selalunya, GoogleMap berkebolehan memaparkan lebih daripada satu laluan dan jugak kaedah. Sama ada dengan kenderaan awam, berjalan kaki atau dengan kenderaan persendirian. Terpulang la pada anda.

~~~~~~~~~~

Sygic

Andaikan juga anda dah jumpa lokasi tujuan di dalam peta Sygic ni sama ada dengan menggunakan POI atau manual panning. Contohnya anda nak pergi Jalan Seri Kembangan 9/6.


Tap jalan tu untuk beberapa saat hingga nama jalan tu keluar dan jugak warna jalan tu di`hatching'kan macam dalam gambar kat bawah. Di sini, satu kelebihan bagi mereka yang mempunyai jejari runcing macam aku. Kalau kita tersilap sentuh, maka mungkin aplikasi tu akan tunjukkan jalan yang bersebelahan. Tapi bagi pengguna smart phone yang ada stylus pen, anda juga mempunyai kelebihan yang sama.


Kemudian, dengan jari telunjuk yang runcing dan halus tu, sentuh pada alamat yang keluar. Satu menu baru akan dipaparkan. Rujuk gambar kat bawah.

Ada beberapa pilihan yang diberikan, sama ada nak terus ke sana dengan berkereta atau berjalan kaki bagi mereka yang larat. Kat sini, aku nak tunjuk cara nak simpan lokasi tu, jadi sentuh pada Add to favorites.


Belum simpan lagi. Sebelum simpan, untuk kemudahan kemudian hari kita boleh menamakan semula lokasi itu. Dah siap taip, sentuh butang Done.


Minggu depannya pulak, atau pun nak tengok balik lokasi tu, sentuh butang Main Menu dan menu macam gambar bawah akan dipaparkan. Sentuh pada Navigate to...


Yang ni kalau jari tak berapa runcing pun takpe, manu macam gambar kat bawah tetap akan keluar jugak. Sentuh pada Favorites sebab lokasi yang sebelum tu memang dah sedia tersimpan.


Sentuh pada nama lokasi yang kita nak pergi tu.


Dan macam GoogleMap jugak, kita pun akan diberikan dengan beberapa pilihan. Pilihan Share location tu pada aku agak istimewa. Nanti-nanti la kalau teringat akan aku ceritakan.


~~~~~~~~~~

Waze

Mula-mula sekali, anggapkan kita ada nak jumpa seseorang kat bawah pokok Jalan P4 H. Setelah jumpa kedudukannya pada peta, dengan jari telunjuk atau ibu jari atau apa-apa jari pun boleh, sentuh jalan tu untuk beberapa saat.


Maka, nama jalan tu akan dipaparkan seperti gambar kat bawah.


Kemudian, sentuh butang Add.


Taip nama lokasi yang kita maksudkan. Kemudian tap butang Done.


Sekarang, lokasi tu dah sedia tersimpan. Cara nak pergi ke tempat tu pulak (mungkin hari lain), sentuh butang Menu, kemudian sentuh ikon Navigate.


Setelah satu menu baru akan terpapar. Kalau nama lokasi tu tak ada dalam paparan ni, sentuh ikon Favorites.


Sekarang, senarai lokasi yang ada dalam Favorites akan dipapar. Sentuh mana-mana lokasi yang kita nak.


Sebaik sahaja kita sentuh lokasi tersebut, secara automatik Waze akan buat calculation cara nak pergi ke sana.

~~~~~~~~~~

Macamana dengan penerangan aku? Harap faham sebab aku tak pernah masuk mana-mana maktab perguruan. Kalau offer tu pernah la, tapi aku tolak. Jadi ilmu nak mengajar tu memang kosong langsung.

Oh ya, satu lagi. Macam yang aku bagitau sebelum ni, selain daripada guna kaedah manual panning atau carian POI, kita pun boleh cari kedudukan satu tempat tu dengan kaedah mamasukkan koordinat latitud dan longitud secara manual. Yang tu pun akan aku ceritakan kemudian hari. Semoga aku tak lupa.

Sekian.

*kalau ada lagi orang masuk blog aku sebab nak cari awek kat GPRS, memang tak tau la nak kata apa...

12 nasihat berguna:

B*nt*t?

16
11:37 AM

Jalan Bera - Temerloh.

Published with Blogger-droid v2.0.9

16 nasihat berguna:

Kisah Patin Kaki

14
2:41 AM
Dua, tiga minggu (entah, bulan lepas kot) aku menjengah ke sebuah tempat di Sekinchan dan Sungai Besar atas urusan keluarga. Berada di sana selama dua hari satu malam telah memberikan ruang kelegaan yang agak besar kepada aku, di mana aku tak perlu terkejar-kejar dalam menyelesaikan beberapa urusan terutamanya pada waktu siang. Jadi, secara automatiknya aku mempunyai masa yang lapang pada waktu petang hari pertama dan jugak sebelah malamnya.

Misi sampingan yang telah aku aturkan sebelum berangkat ke sana tak lain dan tak bukan adalah, mengail.

Memang sejak dulu lagi setiap kali aku lalu, singgah atau berkampung kat sini aku akan terliur nak megail kat tali air sekitar sini. Apa yang aku perhatikan, orang-orang yang mengail kat sini macam tak kira musim. Selalu je ada. Kadang berdua, kadang tu sorang-sorang pun jalan je. Tertonggok la mereka sendiri kat tepi jalan menghadap tali air.

Kali ni, aku nekad. Senjata dah siap tersusun dalam bonet kereta buatan Malaysia. Mata kail daripada tiga jenis saiz dah pun aku siap-siap ikat. Cuma perlu tunggu masa dan ketika yang sesuai je.

Hari pertama, petang...

Continue reading →

14 nasihat berguna:

Nak Cari Makwe

7
3:43 PM
Dalam 24 jam yang lepas, ada orang yang sesat masuk blog aku lepas gunakan keyword ni.


Banyak la kau! Kalau nak cari pasal boleh la. Nanti-nanti la aku tunjuk cara nak setting lokasi dalam aplikasi GPS kat smart phone. Sekarang tengah buat-buat sibuk kat ofis ni.

Adui, macam-macam perangai. Nak cari awek pun guna GPS ke? Hahahaa...!

*Diulangi, GPS dan GPRS adalah dua perkara yang berbeza...

7 nasihat berguna:

Gayat

12
12:32 AM
Matahari dah atas kepala, tapi hati aku ada semacam tak puas hati je dari tadi. Ada satu tempat lagi yang aku tak pergi, lebih tepat lagi tak panjat. Bukan ada apa sangat pun, sebab aku memang dah tau apa ada kat atas tu. Cuma beberapa peralatan mekanikal yang baru siap dan dalam proses testing. Ada pun, tujuan aku nak memanjat sehingga tingkat atas struktur setinggi bangunan 10 tingkat tu cuma nak menguji sejauh mana tahap keberanian aku menentang ketakutan.

Tapi jangan silap, aku bukan ada masalah takutkan tempat tinggi sebab aku boleh panjat pokok rambutan gading sampai ke pucuk, selagi ada tempat berpijak. Cuma, masalahnya aku sedikit gayat bila berada di bangunan tinggi. Lebih-lebih lagi kalau cuma berpaut pada handrail sebesar batang penyapu atau berpijak pada plat nipis.

Mujur, tangga menuju ke puncak tangki air ni bukan diperbuat daripada metal plate, cuma papak konkrit yang diperkukuhkan dengan besi pengadang dan juga kedudukannya terletak di sebelah dalam column, bukannya berlingkar di sebelah luar. Kalau tak, mungkin aku cuma sanggup panjat sampai tingkat empat aje kot...

Sekali dongak, memang sayup menunjal awan.
Tu yang terasa nak naik sangat.
Nak mencabar diri kononnya.

Brader ni umur dah 52 tahun.
Tapi dia lebih tangkas memanjat dan sampai ke atas lebih dulu daripada aku walau pun kami sama-sama botak dan hensem.

Kalau tak silap, itu adalan jalan masuk ke Kampung Ulu Sebauh (Bintulu).
Kata kawan aku yang naik lepas aku, kalau panjat (merangkak) sampai atas tank boleh nampak laut. 
Tak hingin aku!!!

Menghampiri minit yang ke-10, sambungan skru kat lutut terasa semakin longgar. Kepala lutut pulak dia punya goyang dah macam layang-layang. Sekejap ke kiri, sekejap ke depan. Ada karang aku berimaginasi jadi kupu-kupu bersayap silikon, terbang menjunam ke bawah. Lepas tu bila sedar, aku dah ada dalam rumah mayat.

"Bang, jom turun. Makin kuat pulak angin ni." Aku tersengih sambil pura-pura berani mengajak brader berbaju oren tu turun...

12 nasihat berguna:

Pantai Timur Sabah

14
4:08 PM
Sekembalinya dari Bintulu, aku sedikit sibuk dalam dua hari ni. Menyelesaikan beberapa perkara yang tertangguh sepanjang ketiadaan aku di sini. Dengan kerja terbengkalai, rumah bersepah, bilik tak berkemas (atas meja depan monitor dah macam dalam kebuk insinerator pulak).

Tapi sepanjang seminggu di sana, aku tetap tak lepas mengetahui apa yang sedang berlaku di Lahad Datu melalui page-page di Facebook, laman portal berita dan jugak beberapa blog terpilih. Rasanya kalau sedikit je aku terleka, banyak yang aku terlepas. Sehinggakan aku dah sampai KLIA (petang Jumaat) barulah aku tahu ada anggota kita yang tertewas di sana.

Buat masa ni, ketepikan dulu persoalan macamana mereka dapat menceroboh sempadan negara kita dengan mudah (bersenjata!), walau pun aku tau ramai rakyat Filipina yang berniaga di pasar-pasar pagi di pekan Lahad Datu, Tawau, Semporna dan Sandakan. Dan kebanyakan daripada mereka tu semua akan pulang ke rumah (di negara jiran) sebaik habis berniaga.

Ketepikan juga teori konspirasi yang membuatkan kita semua saling tuduh-menuduh dan memburukkan satu sama lain. Itu semua mengarut! Lebih-lebih lagi kalau kita berpendirian sehala iaitu hanya menyokong sebelah pihak (parti politik) sahaja.

Dan lupakan buat sementara waktu mata pelajaran sejarah yang cuma menyentuh sedikit sahaja catatan yang berkaitan dengan Kesultanan Sulu, kerajaan Filipina dan syarikat korporat British sebagai wakil imperial dari barat. Mungkin kalau berjumpa dengan cikgu Jalal (cikgu sejarah), aku akan bertanyakan dengan lebih mendalam lagi.

Dan lupakanlah kontroversi Projek IC yang dikaitkan dengan pendudukan pendatang asing secara sah di negeri Sabah sana. Bukannya kita yang patut menjadi hakim untuk mengadili perkara ini. Kita cuma pemerhati dan kadang-kala terpanggil untuk membuat komen dan mengeluarkan pandangan peribadi (termasuk aku).

Cuma, petang minggu ni aku terpanggil untuk mengetuk jejari runcing aku di mata papan kekunci ni setelah terdetiknya dua perkara di dalam kepala botak aku ni.

Pertama, kebolehpercayaan media yang menyalurkan maklumat.

Dengan adanya konflik yang meragut anggota keselamatan kita, bukannya seorang, malah lima (sesetengahnya menyebut tujuh) setakat ini, kita semua sangat-sangat memerlukan maklumat-maklumat terkini dari sana. Pendek kata, kita mahukan maklumat yang tepat seolah-olah kita dapat mengira setiap butir peluru yang keluar dari muncung raifal dan mesingan. Maklumat-maklumat tu semua pulak boleh datang dari pelbagai sumber.

Entahkan betul, entahkan tidak. Sampaikan ramai yang percaya keadaan di Lahad Datu dan Semporna (mungkin termasuk Tawau dan Kunak) sudah semakin buruk hingga perintah berkurung dan darurat terpaksa diisytiharkan.

Kata-kata daripada mulut Elphege Godomon ketika Buletin 1:30 yang menemuramah penduduk tempatan tengahari tadi pun ramai yang tak percaya. Takkan la orang beratur panjang beli barang kat supermarket tu cuma nak suka-suka je?

Dalam bab ni, aku menyokong tindakan pihak berkuasa (walau pun aku bukan penyokong kerajaan pemerintah) yang berhati-hati dalam menapis berita. Tidak semua perincian perlu dihebahkan untuk pendengaran dan tatapan dunia. Perkongsian maklumat juga ada batasnya. Tugas kita yang penting di sini adalah berdoa agar semuanya dapat diselesaikan dengan cara yang terbaik mungkin. Bukan saling berkelahi dan berebut-rebutkan maklumat yang belum tentu sahih. Harap bersabar dan fahamilah kenapa tak semudah itu pihak media arus perdana memberikan maklumat. Mereka terikat dengan protokol dan kepentingan awam, kerana mereka mempunyai fungsi dan pengaruh yang kuat untuk membentuk persepsi masyarakat dalam sesuatu isu. Termasuk yang membabitkan keselamatan negara.

Kedua, tahap kita mengambil peduli tentang apa yang sedang berlaku.

Kita ni ada tiga jenis. Sama ada yang terlalu mengambil berat hingga rajin klik `like' dan `share', mengambil tahu serba sedikit sambil bergelak ketawa keluar tengok wayang, atau langsung tak tau apa-apa pun.

Jenis yang ke tiga tu buat aku pelik sangat. Takkan la zaman sekarang ni, dengan kelebihan telefon pintar yang ada kat tangan, masih lagi tak tau perkembangan semasa? Hairan aku nih!!! Betul, aku tak tipu. Kalau orang utara semenanjung tu takpe la jugak. Ni aku jumpa mamat yang tak tau apa-apa masa dia hantar aku ke airport kat Bintulu hari tu. Ceh!

Apa pun, aku sedikit bersyukur sebab krisis ni tak melibatkan aku sebab baru bulan September tahun lepas aku ditugaskan ke Sandakan selama seminggu. Kalau tak, mesti terkena tempiasnya jugak. Dan lagi, pejabat tempat aku bekerja juga mempunyai beberapa projek di Lahad Datu, Tawau dan Kunak dan aku tak terlibat dengan semua projek tu.

Harap supaya staf yang akan pergi ke sana tu lebih cekal dan berani lagi berbanding sebelumnya. Bukan setakat merungut susah nak dapat makanan halal atau suasana bandar yang mati (sunyi sepi) selepas jam 6 petang. Nak layan karaoke la tu...

Bandar lama Bintulu, kurang hidup pada waktu malam oleh kerana dah terdapat bandar-bandar baru di sekitarnya. Selama seminggu, aku perhatikan majoritinya adalah premis rumah urut (jenis betul atau bengkok) dan hotel-hotel pelbagai jenis bintang. Mungkin sebab Bintulu ni ramai orang luar, jadi bisnes jenis ni yang banyak.

Nota kaki cagu : Tadi mak aku call dari kampung semata-mata nak bagitau jangan undi pembangkang masa PRU13 karang, sebab takutkan banyak perkara. Aku cakap, "Ha, tu la banyak sangat tengok Buletin Utama. Orang yang jadi rakyat Selangor ni takde apa pun..."

Nota mulut busuk : Aku nak minta maaf jika ada yang tak senang dengan entri ini. Ini adalah pandangan peribadi aku semada-mata, tidak berniat untuk menyentuh sensiviti mana-mana pihak.

14 nasihat berguna:

1 Mac 2013

14
10:30 AM

Tiada apa-apa yang runtuh di tanah sebelah sini. Tiada dataran yang banjir di lembah sebelah sini. Tiada juga gerombolan bersenjata yang menceroboh di sempadan sini.

Selesa, tenang, aman... Jauh beribu kilometer dari tanah sebelah sana.

Tapi, jiwa kita semua masih lagi sama walau di mana sekali pun jasad-jasad kau dan aku diasingkan.

Salam Jumaat...

Bintulu
10:29 pagi
1 Mac 2013

Published with Blogger-droid v2.0.9

14 nasihat berguna: