Signboard

16
9:22 AM
Malam tu, saya naik kereta berdua dengan Nuwon (kakak) nak balik rumah. Baru lepas hantar barang kat rumah PPR yang kat dalam sana, sebelah dengan tasik tu. Awal lagi. Rasanya baru pukul 9 lebih.

Bila tiba kat traffic light simpang tiga Jalan Puchong tu kan ada satu construction. Seingatnya, jalan bawah untuk belok ke kiri memang tutup. Jadi kalau nak belok kiri, kena ambik lane tengah sama-sama dengan kenderaan yang nak belok ke kanan.

Tapi sebelum sampai simpang tu, saya perasan signboard anak panah ke kiri tu masih ada lagi. Diorang belum ubah. Saya pun suruh la si Nuwon (yang drive malam tu) ikut jalan bawah tu, untuk belok ke kiri. Mungkin kalau takde kerja construction waktu malam, jalan tu dibuka la kot.

Tiba-tiba, bila dah sampai simpang tu kami tengok jalan tu dah tutup. Pelik. Jalan tutup, tapi signboard tak ubah. Kami pun reverse la.

Sampai semula kat signboard tu, bulu roma saya jadi meremang. Rasa seram. Eh, kenapa signboard anak panah ke kiri tadi dah takde? Cuma ada anak panah ke kanan je! Saya pandang Nuwon, Nuwon pun pandang saya. Masing-masing diam. Saya tengok muka Nuwon dah pucat.

Saya tanya la Nuwon, betul ke tadi anak panah tu tunjuk ke kiri, takut-takut saya sorang je yang salah tengok. Tapi Nuwon bagitau, dia pun ada nampak anak panah tu memang tunjuk ke kiri. Memang tak silap lagi.

Dah Nuwon, cepat jalan ikut jalan atas tu. Saya cepat-cepat suruh Nuwon jalan, jangan toleh ke mana-mana lagi dah.

Sepanjang jalan tu, kami dua orang langsung tak cakap apa-apa pun. Seriau rasa. Seolah-olah macam ada benda perhati dan ikut kami sampai rumah.

Ish, tiap kali teringat malam tu mesti meremang je bulu roma...

********************

Aku cerita balik mengikut apa yang diberitahu kepada aku, dengan setepat mungkin.

Peristiwa pelik (atau seram) ni diceritakan kepada aku oleh Arab, ketika dia datang bertandang ke rumah aku malam kelmarin. Hajat nak bersembang lama-lama tak kesampaian bila Arab terus nak balik awal. Mungkin dia tak berani nak balik lambat malam tu kot.

Atau pun dia memang dah rasa tak sedap hati. Lebih-lebih lagi bila aku menafikan yang jalan short cut ke rumah aku tak ditutup. Baru je setengah jam sebelum si Arab ni datang, aku sampai rumah. Takde pulak aku tengok jalan tu tutup. Elok je aku lalu.

Tapi dia yang biasanya memang lalu situ, bagitau malam tu jalan tu dah ditutup dengan kon.

Hmmm, pelik. Aku tak tergamak pulak nak cakap "mungkin ada benda ikut kau kot..." kat dia. Karang tak pasal-pasal dia nak stay rumah aku malam tu. Dah la datang naik moto je. Bising pulak mak dia karang...

********************
  • Lokasi kejadian yang diceritakan adalah di sini, koordinat Google Map: 3.070163,101.656438, Simpang tiga Jalan Puchong ke PPR Kampung Muhibbah.

Gambar tiada kaitan dengan cerita. Diambil di Jalan Tuanku Abdul Rahman sekitar jam 11:30 malam beberapa bulan lalu. Tetapi, perhatikan objek putih berbunjut di seat belakang tu.
  • Aku ingat nak up entri ni malam tadi, tapi tiba-tiba ada objek ghaib bergayut kat kelopak mata aku pulak.
  • Ini adalah entri ke-17 untuk bulan ni. Jadi selama empat bulan berturut-turut aku naikkan 17 entri dalam sebulan. Adakah ini...

16 nasihat berguna:

Masuk Air

10
7:49 AM

Semalam dan kelmarin, beberapa kawasan sekitar KL banjir. Dan pada masa yang sama, ruang dalam jam tangan aku pun turut banjir jugak.
Dah 5 tahun melilit pergelangan tangan kiri aku, kemasukan yang entah ke berapa kali. Harap dapat berkhidmat untuk 50 tahun lagi...
Published with Blogger-droid v2.0.9

10 nasihat berguna:

Segar Dari Ladang

12
12:12 AM

Benda ni datang hari Jumaat lepas. Nak bagi setel dalam minggu ni jugak. Dalam keadaan mata yang rabak, aku rasa tidur bawah meja barang sepuluh atau dua puluh minit memang sesuatu yang wajib.

Kalau tak, jangam harap aku nak siapkan...

Published with Blogger-droid v2.0.9

12 nasihat berguna:

Kuasa Cinta?

20
7:53 AM
Yang berlaku macam ni:

"Bai, tolong aku setelkan elevation ni. Lain macam pulak aku tengok bumbung ni. Dapat layout berserabut, bumbung dah rupa kepala naga aku tengok."

"Aku sibuk ar.."

Sepatutnya begini:

"Jom pekena teh sekejap. Rokok tak payah bawak, biar aku payung semua. Tapi lepas tu kau kena tolong setelkan aku punya elevation ni."

"Orait!"

**********

Aku percaya kuasa mutlak dalam dunia ni dipegang oleh duit, bukan cinta. Ayat `cinta adalah segalanya' atau `tiada apa yang lebih penting daripada cinta' macam dah tak boleh pakai. Cuba bayangkan apa akan jadi kalau aku cakap macam ni:

"Bro, kalau kau sayang kat aku, kau kena tolong aku setelkan problem ni. Sebagai seorang sahabat, aku pun sangat sayangkan kau dengan sepenuh hati. Tolong la. Please...."

Silap haribulan, belum sempat aku bersandar kat partition, dagu aku pulak kena cedok...

Sekian, selamat memakai baju batik kepada penjawat awam semua. Nampak kacak bergaya...

20 nasihat berguna:

SEL vs JDT, Ulasan Berat Sebelah

14
8:10 AM
Maaf. Ini adalah ulasan ringkas perlawanan suku akhir Piala FA antara Selangor menentang Johor Darul Ta'zim yang aku tonton kat Shah Alam malam tadi. Harap para pembaca tidak berkecil hati kerana aku cuba meluahkan dengan cara yang paling jujur.

Separuh Masa Pertama.

Aku tak berapa nak masuk lagi dengan feel perlawanan malam tadi. Entah mungkin sebab aku duduk lima minit lepas wisel permulaan ditiup, sebab aku gagal menawar jersi Merah Kuning pada harga terbaik sebelum melangkah masuk stadium atau pun sebab aku risau dengan kereta buatan Malaysia yang jauh aku parking. Hampir beberapa puluh meter dari jalan masuk. Kononnya sebab senang nak keluar...

Macam biasa, pasukan hebat macam Selangor jarang sekali menampakkan taring sebenar seawal babak permainan dimulakan. Cuma tiga atau empat sahaja percubaan dilepaskan ke arah pintu gol JDT. Walau pun hampir 60% penguasaan bola berada di kaki pemain JDT yang sombong tu, tapi aku tengok pemain Selangor yang power tetap tenang menampan segala asakan ke gawang. Sehinggakan aku mereka seakan-akan baru bangun tidur pukul 11 pagi.

Nampak sangat taraf permainan JDT yang dibarisi bintang digeruni tu belum mampu menyaingi mood permainan ala mengantuk oleh pemain pasukan Selangor.

Tak lama kemudian, mungkin disebabkan para pemain Selangor dah bosan tengok gelagat anak-anak harimau dari selatan ni, maka mereka mula mengajar anak-anak buah Fandi Ahmad bermain bola cara Majlis Sukan Daerah bawah 12 tahun. Itu pun segala aksi cemerlang dan ganas gergasi-gergasi berjersi merah biru cuma bermula pada minit ke-26, hasil hantaran kemas pemain entah siapa nama dari sudut kiri padang ke arah penyerang yang sedang menunggu di depan gawang sambil mencungkil gigi bernama entah siapa.

Tapi, tendangan dengan hujung ibu jari kaki itu hanya beberapa jengkal melepasi palang gol JDT. Ha, tu baru pakai hujung ibu jari kaki. Belum pakai dagu lagi.

Namun begitu, aku sangkakan hujan di tengahari, tapi ribut di awal pagi. Gol yang para penyokong malas nak tunggu akhirnya muncul pada minit ke-29 hasil gerakan cantik antara entah siapa nama pemain tu kepada entah siapa nama pemain yang lagi satu tu. Berdesup bola menujah jaring gol, meninggalkan percikan api di atas padang.

Ternyata, kelakuan perancang utama iaitu Amri Yahyah yang dibantu oleh pemain import bertopengkan watak predator yang amat selamba di atas padang, hanyalah lakonan semata-mata. Baki permainan babak pertama banyak dihabiskan di dalam kawasan pasukan Selangor. Sepanjang masa itu, dapat dilihat bagaimana rantai ghaib telah berjaya membelenggu kedua-dua pergelangan kaki penyerang tak hensem Norshahrul Idlan Talaha.

Pergerakannya sentiasa tersekat oleh aksi memukau barisan pertahanan Selangor, bagaikan deretan kereta kebal Soviet Union yang menepis peluru penabur dari muncung senapang patah pemburu khinzir hutan. Langsung tidak memberikan kesan.

Keputusan separuh masa:
Selangor Yang Power Tak Ingat Akhirat 1 - 0 Johor Darul Ta'zim.

Separuh Masa Kedua.

Masa hadapan bagaikan sudah terbayang di ruang langit stadium apabila si predator Forkey Doe telah dikeluarkan akibat terkena serangan kancing gigi yang serius. Tinggal la Amri Yahyah terkontang-kanting seorang diri walau pun dia sekali-sekala menunjukkan asas kemahiran yang tinggi dalam bab menanduk, menendang, menggentel bola dan sekali dua menunjukkan kepada penonton apa yang dimaksudkan dengan offside.

Ditambah pula dengan perbuatan Mahali Jasuli yang berpura-pura tak reti bermain bola, lakonan mereka memang menjadi, langsung berjaya menipu para pemain dan penyokong pihak lawan, yang konon-kononnya permainan Selangor kian goyah.

Tapi, aku dapat jangka ini semua tidak bertahan lama apabila anak-anak harimau dari selatan mula menggunakan taktik keji. Keji bukan setakat kerap menjatuhkan pihak lawan, malahan juga disyaki mereka ini telah mengadakan pakatan sulit dengan pengadil malam tu. Keji tak?

Sepanjang pengiraan aku, beberapa pemain JDT telah mensasarkan `buku lima' ke arah dagu, perut, dada dan alat sulit para pemain Selangor yang kacak tak kurang daripada tiga kali. Sehinggakan aku yang duduk dengan sopan sambil mengepit kaki sejak mula tadi turut bangun dan menunjukkan isyarat lucah ke arah pengadil.

Pada ketika itu, aku harap kamera tidak memfokuskan ke arah aku.

Kesudahannya, berbekalkan taktik kotor dan jijik, pasukan yang dengan tak malunya menggelarkan diri mereka sebagai Harimau Selatan, yang mempunyai tiga bintang pada logonya telah berjaya meletakkan bola ke dalam gawang Selangor sebanyak dua kali. Sekaligus memadam kelebihan gol yang dimiliki oleh pasukan legend merah kuning sebelum itu.

Celaka punya ref. Kalau dia nak rasa tapak Fipper saiz 9, mari la jumpa aku kat luar stadium. Memang habis lubang hidung dia aku korek!

Keputusan selepas separuh masa kedua:
Selangor Yang Power Tak Ingat Akhirat 1 - 2 Johor Darul Ta'zim.
(Agg 3-3)

Pada ketika itu, kepala botak aku dah makin berasap. Kekejian pengadil dalam mengadili perlawan makin terserlah dan berlarutan hingga tamatnya masa tambahan 30 minit, membuatkan aku pun dah malas nak taip panjang-panjang lagi. Tengok je la gambar dengan kesimpulan aku kat bawah ni.

Ini separuh masa kedua. Daripada gambar statik ni pun kita dapat tengok kejahatan yang telah dirancang antara pengadil dengan para pemain JDT.

Mamat rambut panjang tu adalah hero aku malam tadi. Sepanjang perlawanan dia cuma duduk atas palang besi je. Bersorak tak ingat kubur. Jersi yang dia pakai tu pun aku rasa memang rare habis.

Tengok score board ni pun aku jadi panas hati. Kalau kalah secara adil tu takpe la, boleh terima lagi.

Beberapa saat lepas gambar ni diambil, aku pun terus blah keluar stadium. Ini adalah sepakan penalti ketiga Selangor dan juga kedua yang berjaya diselamatkan oleh penjaga gawang JDT yang bermulut busuk jika tak gosok gigi.

Kesimpulan ikhlas tak berbelah bahagi

  • Amri Yahyah boleh dianggap sebagai hantu kerana dia banyak terlibat dengan kebanyakan serangan.
  • Dia juga seorang yang amat berkemahiran tinggi berbanding 21 orang pemain yang lain.
  • Gol pertama JDT memang cantik. Aku terpana seketika.
  • Dua aksi kekasaran berturut-turut termasuk perbuatan memakan rumput oleh pemain Selangor pada minit ke-54 (kalau tak silap) langsung tidak diendahkan oleh pengadil, bukti berlakunya komplot di atas padang.
  • Dua kali bola terkena tangan pemain JDT hingga menghasilkan bunyi `pang', tetapi pengadil pun buat pekak (dan buta) jugak.
  • Aku memang respek kat TMJ sebelum ni atas isu kritikan terhadap FAM, tapi kalau dia bersuara lagi pasal mutu pengadilan malam tadi, aku akan sepuluh kali ganda respek.
  • JDT memang layak menang.
  • Sama ada Fandi Ahmad yang buat strategi menyerang dan lebih agresif masa second half atau pun Irfan Bakti yang memilih strategi bertahan sebab ada kelebihan satu gol dan bermain di tempat sendiri, aku kurang senang dengan corak permainan Selangor.
  • Berbeza dengan Harimau  malaya, penyokong sejati merah kuning memang ramai. Buktinya majoriti mereka lebih menumpukan kepada perlawanan dan latihan melontar grenade menggunakan cawan kertas berisi ais, berbanding mengambil gambar untuk di`upload' ke dalam facebook (atau instagram etc).
  • Cikaro-cikaro malam tadi semuanya muka tak boleh blah. Kaki bola Selangor memang takde bakat dalam seni mencari jodoh macam fan Harimau Malaya.
  • Separuh masa kedua, banyak cawan kertas berisi ais dibaling ke arah padang tanda penyokong Selangor yang tak berpuas hati. Eleh, dasar jantan pengecut. Kalau berani, baling la burger pulak!!!

Sekian sahaja buat masa ini. Sebelum aku menjawab soalan `kenapa aku duduk di bangku penyokong Selangor sedangkan aku adalah anak kelahiran Johor', ingin sekali aku mengutarakan soalan ini:

Adakah anda telah sedia menyokong sejak mereka mula merangkak bertongkat dagu, atau hanya bersorak bersama-sama tatkala mereka sedang mendabik dada di puncak mercu? Khas untuk penyokong Johor Darul Ta'zim yang kononnya tegar.

Maaf jika ada terkasar bahasa dan berkecil hati...

14 nasihat berguna:

Kerusi

13
11:29 AM
Sekarang ni orang tengah sibuk cerita pasal kerusi. Sambil sibuk cerita, cerita, cerita... Tapi sebenarnya dalam bercerita tu masing-masing memasang hajat.

Bagi kumpulan penyokong, besar jugak tugas diorang ni. Tugasnya adalah membuat perebutan bagi pihak orang yang disokong. Mana la tau, bila orang tu menang esok dapat la tempias kemewahan walau sedikit pun.

Lantak. Korang nak rebut, rebut la sampai meleleh air hidung. Yang penting kerusi ni jangan mengada-ngada nak rebut.

(Gambar lama, stesen kerja aku kat rumah)

Kerusi ini aku yang punya! Hahaaaa... Nak pandang dan sentuh, boleh. Nak duduk, boleh. Nak pinjam, pun boleh jugak. Dipersilakan. Tapi jangan bawak balik sudah...

13 nasihat berguna:

Selamat Hari Bapa

17
11:54 PM
(I)
There are no perfect fathers. But a father will always love perfectly...
Sumber, klik sini
-Nak meleleh air mata aku tengok video ni...

(II)
The role of a father in his daughter’s life is pivotal: he is the first man in her life; the one who teaches her what he, a male, thinks of her, a female; and thus shapes her sense of self-worth in the eyes of other men; the one whose behaviour and mannerisms will influence her mental image of “the perfect man” and her choice of life partner (i.e. husband).
-Sesiapa yang ada anak perempuan, haruslah faham dengan statement kat atas...

17 nasihat berguna:

Kopi O Ais

10
4:19 PM

Atas highway kepala melayang, pandangan kabur, fikiran terbang.

Sah! Memang sah aku ni tak cukup tidur. Mengantuk.

Benda ni kalau gagal hilangkan mengantuk, memang nak siram kat muka gamaknya...

Published with Blogger-droid v2.0.9

10 nasihat berguna:

Semuanya Nak Muslimah...

10
12:04 AM
Nak buatkan produk atau servis kita laku, kena la peka dengan perkembangan dan kehendak semasa golongan sasaran. Cuma kalau boleh jangan terkeliru antara kehendak pengguna dengan tuntutan agama.

Terkini, ada satu salun muslimah baru bukak kat area rumah aku. Yang mana aku anggap ini adalah sesuatu yang baik. Baru la selesa sikit wanita muslim nak mendandan diri. Takde la baru bukak tudung nak setting rambut, tiba-tiba ada pulak mamat entah dari mana masuk. Bagi wanita muslim yang jenis tak pakai tudung tu memang la takde masalah (walau pun bakal bermasalah kat akhirat), tapi bagi wanita yang sentiasa menjaga tertib dalam menutup aurat, haru jugak nak cover balik kepala tu.

Aku memang sokong benda-benda macam ni. Ini bukan setakat mengikut perkembangan atau trend semasa semata-mata, tapi juga salah satu cara nak menggalakkan masyarakat supaya serius dalam menjaga dan memenuhi tuntutan agama. Semoga dengan wujudnya salun muslimah atau apa-apa yang berteraskan `muslimah' (asalkan atas tujuan baik) dapat menyedarkan kepada kita betapa pentingnya soal penjagaan aurat, khususnya.

Tak kira la awak tu lelaki ke perempuan...

*Ini pun boleh dikira promosi percuma jugak ke?
*Pergh, dah lajak pukul 12 ni tapi aku tak tidur lagi. Kerja kat dunia sampai bila pun tak habis bai...

10 nasihat berguna:

Rabun/buta

0
1:00 AM

"Boleh nampak ke tak pakai spek mata ni?"

"Wei, aku ni cuma rabun je la. Belum buta lagi. Mesti la nampak!"

Beberapa minit kemudian... Gedegang! Fork berbunyi macam nak patah, tungking rasa sengal macam terduduk atas palang besi. Kebasnya cuma Tuhan je yang tahu selain aku.

Sedangkan manusia celik pun boleh tergolek sebab terjatuh masuk dalam rekahan manhole, tengahari buta. Inikan pulak aku yang rabun jauh, pakai visor gelap, tengah malam buta pulak tu. Ditambah dengan hujan renyai.

Nah, rasakan peringatan Tuhan yang bukan selalu dapat...

0 nasihat berguna:

Sampah

14
8:20 AM

Tak sangka pulak aku boleh jumpa barang buangan jenis ni kat dalam bakul sampah pantri. Hahahaaa...

14 nasihat berguna:

Beautiful World

0
8:38 AM

Kisahnya bermula begini (aku pun dah ingat-ingat lupa)...

Sebuah kedai serbaneka pada suatu malam yang tak diketahui jam berapa, didatangi oleh seorang lelaki tua bertutup muka. Mengacukan pisau (atau pistol, aku tak ingat) ke arah juruwang dan memaksa juruwang itu menyerahkan wang tunai. Tetapi cubaannya untuk menyamun pada malam itu mudah sahaja ditewaskan oleh Hikoichi, juga salah seorang pekerja di situ hingga membuatkan orang tua itu jatuh tersungkur ke lantai.

Tanpa diketahui oleh semua orang pada malam itu, Hikoichi sebenarnya adalah bekas ahli yakuza yang telah mencuba untuk meninggalkan dunia gelap lampau. Keputusan heroic Hikoichi pada ketika itu (dirakamkan oleh cctv) juga mengejutkan apabila dia menyerahkan sejumlah wang tunai kepada perompak tua itu, mungkin atas dasar simpati.

Jelas, perbuatannya itu dicurigai oleh majikan dan pihak polis (kemudiannya), serta dituduh bersubahat. Lebih-lebih lagi apabila identiti dia sebagai bekas ahli yakuza telah terbongkar.

Sejak itu, jalan cerita telah berubah dengan amat dramatik sekali. Kisaran antara elemen aksi yang sederhana, permainan mimik wajah Hikoichi (lakonan Tsuyoshi Kusanagi) yang berkesan ketika di penjara hingga ketika dia diangkat sebagai orang penting sebuah kumpulan yakuza di sebuah pekan kecil.

Pekan kecil yang sedang dibayangi oleh seorang ketua mafia berpengaruh dan juga seorang peguam/politisi muda iaitu Teruo (lakonan Teruyuki Kagawa) yang bercita-cita tinggi. Usahanya dalam meneruskan legasi politik mendiang ayahnya mendapat cabaran baru dalam isu-isu berkaitan kesihatan dan sosial penduduk setempat. Tambahan pula, mendiang ayahnya juga mempunyai kaitan rapat dengan kumpulan haram di situ membuatkan segala gerak-gerinya sentiasa diperhatikan oleh pihak media.

Usahanya diburukkan lagi apabila bekas teman wanitanya iaitu Yoko (Narumi Yasuda) dipercayai menjalinkan hubungan mesra dengan Hikoichi, yang pada masa itu sedang berusaha membina kepercayaan daripada seorang ketua yakuza dengan menguruskan rumah perlindungan orang tua tak berlesen. Pada masa yang sama, dia juga masih lagi menaruh perasaan cinta terhadap bekas teman wanitanya itu.

Yoko, seorang ibu tunggal hidup dalam keadaan terdesak untuk membesarkan dua orang anak kecil dan menjaga ibunya yang nyanyuk. Dengan kehadiran Hikoichi di pekan itu sebagai pengurus rumah jagaan orang tua haram, telah menyebabkan dia kembali terperangkap dalam dunia yakuza, setelah berjaya menjauhi dunia gelap itu sejak kehilangan bapa kandungnya yang juga seorang ahli yakuza.

.
.
.
.
.
.
.
.

Cilakak, masa dah time pulak! Perjalanan selama lebih kurang dua jam setengah dari Bintulu ke KLIA hari tu gagal membuatkan aku menonton filem ni sampai habis. Menyesal aku godek skrin kat dalam kabin baru ni lama-lama. Kalau aku tau ada filem bagus dalam simpanan cakera keras pesawat Boeing 737-800 yang baru ni, memang terus aku tonton filem ni dari mula take off sampai la touch down. Dah la filem ni berdurasi lebih daripada dua jam, tontonan aku pulak banyak terganggu dengan pengumuman oleh crew dan kecantikan tubuh badan para stewardess.


Tambah dukacita, tontonan aku cuma bergantung sepenuhnya pada mata sahaja akibat aku gagal mencari mana nak dapatkan volume. Takde speaker, takde lubang nak cucuk earphone. Cuma baca subtitle je. Apa pun, aku memang suka filem ni walau pun tak dapat tonton sampai habis.


Oleh sebab tak dapat tonton sampai habis, secara automatiknya aku tak berhak membuat ulasan dan kritikan. Cuma boleh menceritakan jalan ceritanya seingat yang boleh. Sekian, assalamu 'alaikum...

*Sumber poster filem dan nama pelakon adalah dari sini.

0 nasihat berguna:

Rama-rama

13
8:53 PM
Untuk berjaya dalam menjaga dan membesarkan seorang anak kecil sampai la dia dewasa ni adalah satu kerja seni yang bukan calang-calang orang boleh buat. Betapa cantiknya anak tu ketika dilahirkan seakan corak abstrak pada kedua-dua belah sayap seekor rama-rama. Begitu simetri dari jauh, tapi jika diteliti dari dekat akan dapat dipastikan paten-paten unik di setiap butir pikselnya.

Dalam proses menjaga, melindungi dan mendidik sehingga dia mampu terbang sendiri memerlukan genggaman tangan yang padu tetapi tidak terlalu kejap. Lembut tetapi tidak terlalu longgar. Ditatang dengan seimbang agar tidak tergelincir ke tanah. Ditutup dengan sekata oleh jari-jemari agar tidah melayang ditiup angin, sebelum sempat dia bersedia untuk meluncur sendiri di ruang udara.

Indah bukan?

(Gambar curi dari Google tanpa izin pemiliknya)

*Ini aku olah balik ayat orang lain, bukan aku yang kata...

13 nasihat berguna:

Kisah Beruk

18
10:27 AM
Karim bagitau : Kau tau, aku dah ada lima ekor beruk sekarang. Masing-masing ada tugas sendiri.

Sudin menyahut : Oh, iye ke?

Karim jawab : Iye la. Beruk yang paling senior tu aku lantik dia jadi leader. Sekarang kerja aku dah mudah sikit. Pantau dari jauh je. Si senior tu pulak yang jadi tukang arah dari bawah, pilih mana-mana kelapa yang sesuai. Kalau client nak kelapa muda atau kelapa tua untuk santan, aku cuma bagi isyarat je kat leader tu. Power tak aku ni?

Sudin jawab balik : Power, memang power. Macam bukak sekolah latihan. Anak didik kau tu semua makan apa? Nasi arab ke sampai jadi power macam tu.

Karim pulak menjawab : Takde la diorang ni jenis makan tak demand sangat. Tiap-tiap hari aku bagi makan pisang. Tapi ada variasi la. Kalau hari ni pisang emas, esok pisang awak, lusa pisang nipah, tulat pisang abu. Baru la diorang suka. Tapi si leader tu special sikit. Aku `upgrade'kan sikit makanan dia.

Sudin tanya lagi : Apa benda kau bagi?

Karim jawab selamba : Pisang goreng, pengat pisang, banana split, tak pun jemput-jemput pisang.

Sudin cakap dalam hati : Kalau dah beruk tu, beruk la jugak...

*Moral cerita, kita takkan pergi ke mana selagi kita relakan diri sendiri hidup di bawah telunjuk orang lain.
*Maaf, ini cuma kisah rekaan. Tak ditujukan kepada sesiapa.
*Pagi ni aku amalkan konsep bekerja dari rumah...

18 nasihat berguna:

Cast Away

12
6:47 PM

Tweet from Sin Yew (@S_Y_New)
Alamak, ada orang guna avatar yang sama la macam aku. Dia guna untuk twitter, tapi aku guna untuk profile kat blogger ni. Apa pun, kita boleh jadi geng. Hi-five!!!

Published with Blogger-droid v2.0.9

12 nasihat berguna:

Selamat Datang Ke Malaysia

10
12:27 PM
Pedulikan la dulu pasal pembubaran parlimen tu. Buat masa ni, dalam beberapa minit aku baru cuba nak berehat sambil tiba-tiba `terjumpa' video ni kat Youtube.


Kisah berkenaan pelarian yang mencari perlindungan atas bumi Tuhan yang bertuah dan kaya ni.

*Perkataan warna merah dan bold tu aku tujukan khusus kepada golongan manusia.
*Sebenarnya elok jugak kita dengar/tonton apa pandangan orang luar tentang negara kita.
*Maaf, mungkin isu ini agak sensitif. Tapi aku mesti berfikiran terbuka dan positif dalam menilai.
*Ok, dah habis tonton. Aku nak sambung sibukkan diri...

10 nasihat berguna:

Chinatown

21
6:30 AM

"Wei, penat ar.... Dah tiga hari kerja kat sini."

"So?" Aku tanya balik dengan hanya sepatah perkataan Inggeris.

"Aku nak pergi massage..."

"So?" Ayat yang sama keluar dari mulut aku buat kali kedua. Beberapa saat kemudian, soalan aku tak berbalas. Bila aku toleh, aku nampak dia macam cacing kena panggang padahal udara yang keluar dari corong blower air-con dah sejuk mengalahkan teh ais. "Jom kita usha line kalau-kalau ada tempat urut kaki..."

Sepanjang berada kat sana, aku tak berapa yakin yang negeri Darul Iman ni ada terdapat premis reflexology macam kat Sabah atau Sarawak hari tu. Kat negeri Borneo sana memang bersepah. Cakap je nak jenis yang macamana. Jenis lurus atau bengkok. China, Filipina atau Thai. Aku je yang tak berani masuk walau pun untuk urut kaki. Karang diorang offer urut lain, naya pulak. Cuma untuk kepastian, aku pun ajak la dia pergi merayau dulu. Tak salah mencuba, walau pun cuaca petang tu panas berdenting sampai ke kepala.

Destinasi kami petang tu adalah Kampung Cina yang terletak cuma tiga jam dari tangga hotel kalau merangkak. Dia pun tak banyak bunyi asalkan aku yang tanggung risiko kalau sesat. Jalan yang kami pasti takkan sesat cuma Pasar Payang. Tu pun sebab dah banyak kali lalu.

Jadi, lepas membeli baju kaftan dan pekena cendol kat situ, aku pun mengepalai rombongan dua orang lelaki macho ke Kampung Cina tu. Apa yang aku tau, tempat tu sekarang dah upgrade dan dah digazetkan sebagai warisan dunia. Nama pun dah jadi Chinatown. Tak sangka aku kat negeri ni ada tempat nama Chinatown. Lantak pi la. Yang penting bila dah jumpa benda yang kami cari tu, aku pun nak tumpang urut kaki jugak. Almaklum, kerja kuat...

Koma...

Tak aku sangka, cantik jugak tempat ni kalau kita lalu dengan kaki berbanding naik kereta. Walau pun ada beberapa premis yang sedang dalam proses renovasi, masih lagi tidak mencacatkan pemandangan. Antara perkara yang menarik pada pandangan mata bundar aku adalah...

Oh, ini Lorong Kenangan rupanya. Deretan plak yang memaparkan tokoh-tokoh dari masyarakat Cina yang pernah berkhidmat dengan kerajaan negeri. Aku tau dari sini.

Yang ni pulak Lorong Warisan Dunia. Ada tercatat maklumat-maklumat ringkas berkenaan tujuh benda ajaib dunia (yang baru). Cuma aku tak faham perkaitan kuat antara benda-benda ni dengan Chinatown. Agak kurang relevan.

Siap ada direction signage tu. Aku pun tak pasti sama ada betul atau tidak arah ni semua. Kalau yang tukang pasang ni main tibai je bukannya aku tau pun. Takde kerja aku pulak nak periksa guna GPS, peta atau kompas.

Sudahnya, sampai ke penghujung jalan kami tak jumpa tempat urut langsung. Bertambah penat lagi ada. Nasib baik kat sebelah bus stand sana ada tempat minum. Dapat jugak pekena roti tempayan berkuahkan kari daging. Sambil sekali-sekali mata melirik ke arah awek-awek yang balik kerja...

*Masa tu dah pukul 5, tapi panasnya cuaca macam pukul 1 bulan puasa.
*Awek-awek pantai timur ni ramai yang slim.
*Ini adalah entri terjadual.

21 nasihat berguna: