Zurin : Last Seen At...

12
4:36 PM
Saat ini telah genap dua minggu tiada sebarang nada deringan, beep halus atau getaran ringkas yang sepatutnya disebabkan oleh dia. Entah kenapa, mungkin cuma dia yang tahu sebab-sebabnya. Dan selama itu juga  telefon pintar aku seakan menunjukkan nada-nada kebosanan. Semua deringan yang berirama mempunyai nada yang sama, menandakan semua panggilan atau pesanan teks itu datangnya dari group yang sama. `Work'  atau `family'. Tiada sekali pun gelombang telekomunikasi itu berpunca daripada dia.

Di dalam kehairanan itu, sesekali kepala botak aku dikunjungi dengan idea-idea kebuntuan. Buntu dan keliru memikirkan apakah sebenarnya yang membuatkan dia enggan membalas pesanan teks yang aku kirimkan selama ini. Bukan sekali, bukan dua kali. Malah hampir setiap hari aku melakukan perkara yang sama. Sehingga akhirnya menjadi rutin yang automatik akan aku lakukan pada waktu-waktu tertentu.

`Salam, si wangi. Apa cerita pagi ni?' pada pagi ini mungkin akan aku gubah sedikit pada keesokan harinya menjadi `Assalamu alaikum penghuni peti besi di hati, ada tak apa-apa yang istimewa nak kita kongsi petang ni?'.  Namun semua usaha itu nampaknya gagal juga menjentik hati dia untuk membalas.

Tidak, tak mungkin aku akan membuat panggilan suara kepada dia. Bukan kerana alasan keegoan aku sebagai seorang lelaki. Tetapi aku terasa terdapat sifat kekerdilan yang menghalang aku daripada memulakan satu  langkah yang sebegitu berani. Jadi, tanda tanya sehingga kini kekal menjadi persoalan. Yang kemudiannya menambahkan kekeliruan.

Terfikir juga, apakah sebelum ini aku telah sengaja membuatkan tercetusnya kemarahan dalam hati dia, tanpa aku sedar? Atau terdapatnya beberapa tingkah-laku aku yang sememangnya tidak dia senangi sejak mula lagi?  Kebarangkalian yang agak tipis, memandangkan aku begitu yakin bahawa selama ini aku hampir-hampir berjaya menduduki hati dia. Sama ada secara sengaja atau tidak, aku pasti ruang kosong itu hampir dikhaskan untuk  aku. Jika tidak, masakan dia sanggup menukar fikiran di saat akhir ketika pintu pesawat hampir ditutup tempoh hari.

Penat berbaring, aku bingkas bangkit dari tilam empuk lantas mencapai telefon yang terletak di atas meja. Kipas pada cpu di bawah meja masih ligat berputar, menghasilkan bunyi menderu. Satu-satunya bunyi yang  menghuni bilik aku malam itu. Memang sengaja aku biarkan pc terus hidup sepanjang malam, juga dengan harapan akan muncul notifikasi terkini dari laman sosial berwarna biru. Namun sejak beberapa jam lalu, namanya  tetap tidak juga muncul sebagai penghantar pesanan walau pun aku sedar namanya agak kerap juga berwarna hijau.

Whatsapp. Aku menyentuh ikon aplikasi pada muka pertama telefon pintar. Objek nipis bersaiz tapak tangan itu aku timang-timang lembut sambil menunggu paparan pada mukanya berubah. Agak lambat pada aku walau  pun mengambil masa kurang daripada dua saat.

Entah kenapa, tiba-tiba dada aku terasa berdebar. Jantung aku seakan berlari-lari anak menjelajahi segenap rongga yang yang terdapat di dalam rangka kurus aku. Selalunya perasaan aneh ini cuma disebabkan oleh  seseorang sahaja, iaitu dia. Tetapi, apa kaitan antara debaran yang aku rasa ni dengan objek nipis yang aku genggam sekarang? Mungkin ada sesuatu.

Sebaik paparan Whatsapp muncul, dengan pantas ibu jari aku menari-menari di atas skrin sentuh mencari-cari nama dia. Tak susah memandangkan dia adalah orang terakhir yang telah aku hantar pesanan iaitu lebih kurang  sejam yang lalu. Hmm, seperti biasa jika tiada balasan daripada dia, aku pasti akan melihat status online terkini dia. Apa yang membuatkan hati aku terubat ketika itu adalah, kali terakhir dia membaca pesanan pada  telefonnya adalah lebih kurang 20 minit yang lalu. Membuatkan aku begitu pasti pesanan yang telah aku kirimkan sebelumnya telah pun dia tatap.

Biarlah, biarlah buat masa ini aku merelakan dia senyap buat seketika. Dan pada waktu yang sama hanya aku sahaja yang melihat dia dari jauh. Sekurang-kurangnya `last seen at' milik aku yang tertera dan dapat dibaca  oleh orang lain ini, semata-mata bertujuan untuk menghantar pesanan kepada dia.

Sebelum merebahkan badan, hati kecil aku mulai tertanya-tanya kembali. Adakah dia juga merindukan aku seperti mana aku merindukan dia?


About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

12 comments:

  1. mungkin dia tak sempat nak balas sebab tengah busy waktu itu kot...hehe

    Regards,
    -Strider-

    ReplyDelete
    Replies
    1. busy ikuti perkembangan nahas, mungkin...

      Delete
  2. Dia masih bersedih dengan kehilangan MH370 kot.....

    ReplyDelete
    Replies
    1. jangan buat spekulasi bang. hehehee...

      Delete
  3. OH.. SIAPAKAH ITU? CANTIK NOMBORNYA..

    ReplyDelete
    Replies
    1. nombor cantik macam ni alien je yang guna.

      Delete
  4. PASAL ENTRI SEMALAM, SEKIRANYA KAU MAHU LIHAT HASIL SENI ONE AND ONLY, BOLEH LAYARI http://fairusmamat.blogspot.com/2013/01/one-and-only.html. AKU BARU SAJA MELETAKKAN KEMBALI GAMBAR LUKISANNYA.

    ReplyDelete
  5. siapakah dia..?:)
    penuh misteri...

    ReplyDelete
    Replies
    1. dia yang bernama rahsia...

      Delete
  6. Hah! Dh lama x dgr cerita si Zurin ni. Baru nk tya apa khabar dia tapi dari segi pembacaan tu aku rasa kau pun dah lama tak tahu khabar dia kan?

    ReplyDelete
    Replies
    1. aku sendiri pun tak tau apa khabar...

      Delete