Tiada Tunggul Kayu Dalam Terbaik Dari Langit Tuhan

8
8:18 AM
"Bila kucing yang kau sayang tersesat di jalanan,
Pasti ia akan mencari jalan pulang.
Jika sahabat sejati meninggalkan dirimu,
Untuk apa kau bersedih kerana dia pasti kembali."

Antara bait lirik lagu Sahabat daripada Pitahati yang aku dengar sekali imbas, menerusi trailer filem ini di Youtube, lantas mambuatkan jiwa kental aku sedikit bergetar. Kalau momen beberapa saat ni pun mampu menarik perhatian aku, apatah lagi keseluruhan filem yang mungkin berdurasi lebih kurang dua jam, kan?

Jadi sebagai memenuhi tuntutan kehendak hiburan, balik dari kerja hari Rabu minggu lepas, aku pun singgah sekejap kat pasar malam dengan harapan brader jual DVD kat situ dah ada stok filem ni. Mujur, telahan aku tepat. DVD cetak rompak filem ni tergantung sederet dengan beberapa lagi filem-filem yang baru release.

RM4, harga yang sangat-sangat berbaloi untuk mereka yang gemar menyokong kerja-kerja lanun atau yang malas nak cari download link kat internet.

Keesokan harinya
aku pun habiskan sedikit masa sebelum balik untuk layan filem ni. Satu round dah cukup. Cukup mengesahkan yang aku tak tersalah filem untuk ditonton. Yela, aku kalau bab nak membeli tiket wayang atau keluarkan duit beberapa ringgit beli DVD pasar malam ni, memang agak berkira sikit. Kena pastikan filem tu betul-betul bagus dan berbaloi, baru la aku gerak dengan caragas.

Ehem, cantik tak Volkswagen Caddy aku ni? Dapat masa hunting minggu lepas. Terbaik dari 99 Speedmart!

Jadi untuk menambah bukti betapa ini adalah sebuah filem yang sangat bagus, aku pun pergi la langgan filem ni kat Asstro First sebaik selesai sesi lawak kurang bangang kat Maharaja Lawak Mega. Aku rasa, tempoh 48 jam tu sudah cukup untuk layan filem ni sepuas-puasnya, berulang-ulang kali sama macam filem Songlap dulu. Lepas dah puas ni, boleh la aku kapankan DVD haram ni kat dalam laci, sebagai penghargaan kepada pengkarya hebat kita.

Gambar diambil ketika tontonan entah kali yang ke berapa.

*****

Pada aku, apa yang membuatkan filem Terbaik Dari Langit ini betul-betul terbaik tahap naga yang mencari tujuh butir mutiara adalah:

~Lagu tema yang bertajuk Sahabat tu. Sekali dengar pun dah tangkap. Dengan melodi yang sederhana dan tidak keterlaluan, diiringi lirik yang simple. Sangat sesuai untuk dipadankan dengan tema filem ni secara keseluruhannya. Sampai terngiang-ngiang dan rasa nak nyanyi sekali. Tambahan pulak, susunan muzik latar filem ni pun dibuat oleh Pitahati. Bertambah sedap je tontonan aku yang entah berapa kali tu.

~Filem bercorak road-trip macam ni agak jarang dibikin oleh pembikin filem kita. Dan kalau ada pun, agak membosankan kerana perjalanan cerita yang meleret-leret dan macam nak sampai tapi tak sampai-sampai. Cuba bayangkan kalau timeline sebuah filem tu cuma mengambil tempat hanya beberapa hari, tapi kalau dah terlalu bercelaru dan banyak sangat yang nak diceritakan sampai berserabut jalan ceritanya. Tujuan dah lari entah ke mana. Tapi tidak bagi filem Terbaik Dari Langit ni.

Sepanjang filem ni berlangsung, aku nampak perjalanan ceritanya sangat lancar. Babak-babak flashback pun diletakkan pada tempat yang sepatutnya. Sesuai dengan babak sebelum dan selepas, membuatkan aku lebih faham dengan apa yang nak disampaikan, apa yang telah berlaku dan membuat aku mampu meneka apa yang bakal berlaku walau pun tak semestinya betul. Sangat cantik susunaturnya.

~Pemilihan pelakon yang aku rasa sangat kena dengan pengisian watak. Ini aku maksudkan pada pelakon tambahan yang memegang watak Berg (mungkin sempena nama Steven Spielberg), Ijam, Ali dan Toyu semasa mereka di sekolah menengah. Mereka ni aku tak tau muncul dari mana, tapi berlakon dah macam pelakon drama yang berlakon berpuluh-puluh drama Spektra waktu maghrib dulu. Eh, korang ingat senang ke nak cari pelakon yang memainkan watak utama ketika zaman sekolah. Bukan sahaja gaya percakapan yang sama macam pelakon utama, tapi jugak susuk tubuh dan iras wajah yang 90 peratus seiras!

Sebab tu la biasanya kita akan tengok pelakon utama dalam filem-filem lain akan lakonkan sendiri watak mereka ketika zaman dulu. Itu yang buatkan kita akan nampak Rosyam Nor atau Erra Fazira akan pakai baju sekolah menengah, berlakon dalam kelas dan main kejar-kejar naik basikal (sekadar contoh). Menunjukkan pembikin kita ni tidak menitikberatkan soal pemilihan (pelakon). Atau pun lebih tepat lagi, pemalas! malas nak cari pelakon pembantu. Asal boleh. Make up sikit-sikit bagi nampak remaja.

Jadi, aku berikan kredit untuk Terbaik Dari Langit dari sudut pemilihan pelakon ni.

~Setiap watak ada karakter tersendiri yang membuatkan mereka unik dan mudah untuk dikenali, walau pun mereka lama bersahabat. Tambahan lagi, dua atau tiga babak awal cukup untuk kita mengenali siapa itu Ijam Ashburn dalam dunia perfileman, siapa itu Berg sebagai pengarah kategori terpinggir, siapa itu Toyu sebagai cikgu sekolah yang tak punya keyakinan diri atau pun siapakah Ali sebagai pemilik Jembalang biru. Mudah bukan? Tidak perlu kita tunggu sampai separuh filem atau perlu dibantu dengan babak flashback yang berlebihan. Kebanyakan babak flashback dalam filem ni cuma berfungsi sebagai tambahan dan penguat kepada hubungan dan konflik lama mereka berempat.

Watak kelima iaitu Sofea Jane pun mempunyai posisi tersendiri dan sama penting walau pun dia hampir tidak mempunyai sejarah dalam persahabatan mereka (aku syak Toyu memang perasan yang Sofea Jane ni adalah orang sama tempat mereka port beli makanan luar masa sekolah asrama dulu). Dia adalah satu-satunya watak yang positif dalam Terbaik Dari Langit ni, seolah larutan yang meneutralkan cecair alkali atau asid.

~Pemilihan lokasi yang aku nampak sangat mencantikkan setiap frame. Semuanya memang kena. Bermula dari cafe berasap tempat pertemuan Berg dengan Ijam, rumah kampung peninggalan arwah atuk Berg, bangunan sekolah yang nampak tidak terlalu old-school sampai la ke lokasi tepi pantai tempat mereka port selama satu malam sebelum Berg ternampak lintasan cahaya di langit. Eh, bukan itu je. Kereta BMW milik Sara pun aku nampak mereka pandai cari port. Parking betul-betul sebelah bangunan lama, dengan cat dinding berlumut dan jugak bertingkap kayu lusuh.

Cantik, sangat cantik.

~Mungkin jugak kecantikan lokasi yang aku maksudkan kat atas ni banyak dibantu oleh gerak kerja kamera yang kemas. Lancar, tak pernah pun tersekat-sekat dan kadang-kala sengaja diletakkan statik pada tempat yang sesuai. Zooming out dan zooming in yang berfungsi menampilkan riak wajah pelakon, sekaligus membuatkan aku pun terikut-ikut dengan emosi watak-watak Terbaik Dari Langit ni. Sehinggakan pada satu ketika iaitu semasa babak dalam rumah antara Toyu dan Sofea yang berbual mengenai potret arwah atuk Berg, subjek yang penting dalam filem tetapi tiada kaitan dalam babak turut kelihatan iaitu si Jembalang biru, yang terletak di halaman melalui jeriji tingkap.

Cantik, sangat cantik dan begitu terkesan pada aku. Kredit pujian kepada cinematographer.

~Kemunculan allahyarham Aziz Sattar walau pun cuma beberapa kali, tetap memainkan peranan dalam membentuk kefahaman kita tentang pembentukan personaliti Berg, tentang ketaksuban dia dalam mempertahankan pendirian dan jugak kesungguhan dia dalam mengejar cita-cita. Memang la tak begitu ketara, tapi pada aku keberadaan watak atuk ni memang sentiasa tepat pada masanya, lalu setiap pergerakan jalan cerita sentiasa kemas dan saling terkait terutamanya dari aspek sejarah silam si Berg ni.

Faham tak apa yang aku nak sampaikan ni? Kalau tak, aku rasa kalian kena tonton sendiri filem ni. Manyak syok ma...

*****

Walau bagaimana pun, masih ada sedikit perkara yang semacam mengganggu aku. Satu perkara kecil dan satu perkara tak berapa nak kecil. Tapi tetap tak mencacatkan keseluruhan filem, iaitu:

-Perkara kecil;

Peta semenanjung yang Berg ajukan pada Ijam pada babak awal filem. Seawal cerita, Berg kerap sebut tentang perjalanan mencari UFO di seluruh Malaysia yang meliputi tiga lokasi utama, tapi apa yang aku nampak (sekali imbas, maaf kalau aku tersilap) pada lakaran Berg, cuma meliputi bahagian utara Selangor dan sedikit negeri Perak (atau Kelantan mungkin).

Sepatutnya lakaran lokasi utama pencarian tu meliputi sekurang-kurang separuh semenanjung seperti Selangor (Gombak sebagai contoh), Pahang (Cameron Highlands, Raub atau Kuala Lipis), Kelantan (Gua Musang atau Jeli) dan Perak (Gerik) sebelum turun semula ke Lembah Klang melalui Kedah dan Perak (sekali lagi) menggunakan jalan persekutuan.

Nampak macam terlalu terperinci, tapi kalau imej visual yang cuma beberapa saat itu tak diambil berat, tetap akan nampak ketara bagi penonton yang peka tentang hal-hal geografi ni.

~Perkara tak berapa nak kecil;

Penggunaan camcorder sebagai subjek utama dalam penceritaan. Aku tak pasti, antara tahun 1993 hingga 1997 ni camcorder adalah satu alat perakam yang menjadi kebiasaan kepada remaja zaman tu. Sebab aku pun pernah jadi remaja dalam tempoh masa yang sama. Masa tu jangan kamera digital, kamera kompak pun dah kira sebagai barang yang mewah. Jadi macam kurang sesuai pulak budak-budak remaja zaman tu dah memiliki camcorder, lebih-lebih lagi bagi yang menuntut di sekolah berasrama.

Tapi kalau mereka gunakan alasan yang Berg ni begitu taksub nak jadi pengarah sampai sanggup berhabis duit beribu ringgit (jelas, dia bukan dari keluarga berada berdasarkan rumah kampung arwah atuknya) semata-mata nak memiliki camcorder, aku boleh maafkan.

*****

Untuk penamat filem ni, sila abaikan dan kalian yang dah tonton tak perlu la rasanya pertikai ke mana menghilangnya watak Berg ni. Apakah betul dia dilarikan makhluk asing, atau babak dia diangkat naik ke pasawat angkasa tu sekadar hiperbolik kepada kematian Berg yang gagal bertahan melawan penyakit. Itu semua tak penting. Apa yang penting adalah ayat tersurat tetapi menjadi tersirat iaitu:

Kalau kita tak faham akan buku yang dibaca (di sini merujuk kepada filem yang ditonton), adakah kita yang bodoh atau buku itu yang bodoh?

*****

Secara keseluruhannya, rating yang aku nak bagi adalah 4 penumbuk untuk filem yang hebat ni.

Dan bagi kalian yang terpengaruh dengan review aku ni, sila jangan dapatkan DVD kat pasar malam. Ringan-ringankanlah jari tu untuk melanggan Asstro First. Aku kalau bukan benda bagus, aku takkan promote kat kalian. Makin aku kutuk lagi ada la.

Tapi untuk Terbaik Dari Langit ni, aku syorkan kalian tonton. Sebab kalian (mungkin) akan dapat kepuasan yang sama macam filem Laskar Pelangi. Ada banyak benda-benda yang indah dalam filem ni. Dari lagu-lagu dan skor muziknya, dari latar belakang setiap babaknya, dari pembawaan watak oleh para pelakonnya dan yang paling indah sekali adalah...

...si Jembalang biru ni.






Nak tau kenapa aku panggil van ni Jembalang?

*****

Tiba-tiba aku berkenan pulak dengan van Volkswagen biru ni. Aku ingatkan van kombi je yang sesuai dan selalu orang guna untuk filem jenis road-trip ni. Kepada sesiapa yang tau kat mana ada jual van macam ni, sila bagitau aku. Kalau harga sedap, boleh jugak aku angkat.

Sekian, assalamu 'alaikum.

Penafian: Ini adalah pandangan peribadi aku yang bukannya profesional, tapi sekadar penonton biasa yang masih lagi ada selera untuk menonton filem terbaik, lahir dari celah-celah kebodohan sinema tempatan.

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

8 comments:

  1. Terbaik Dari Langit ni banyak aku tengok dapat review positif kat group-group peminat film dalam Facebook. Sejauh mana best filem ni, aku pun tak tau nak cakap selagi belum tengok. Aku dulu je kaki wayang, sekarang dah ada anak kecik, kaki dah kena ikat. Hahaha

    ReplyDelete
    Replies
    1. Asstro kan ada. Setahun sekali (atau dua kali) dah cukup, asalkan berbaloi...

      Delete
  2. ambik nafas dulu..hehehe..baru habis baca..panjang beno entri kali ni...apa2 pun terbaik dari langit mesti beli dvd nya...kalau 4 penumbuk kira oklah tu dari terus kelaut..hehehe...

    dah lama tak tengok cerita melayu sejak cerita buatan anak tempatan banyak merapu...sorry penulis skrip... :-)) jgn mara ar

    ReplyDelete
    Replies
    1. Dalam 100 mungkin ada 2 je yang bagus...

      Delete
  3. boleh tahan juga penulisan bro..banyak maksud yang tersirat berbanding tersurat..


    Salam motivasi dari Hero Borneo

    ReplyDelete
  4. "Nama je citer UFO, tapi xde alien pun"

    ReplyDelete