...Dan Dia Pergi Tanpa Diketahui.

10
10:58 PM
Tingkatan tiga, selepas habis sesi persekolahan. Hanya kami bertiga iaitu aku, Pedi (nama sebenar) dan Sani (nama sebenar) yang melalui short cut ke bus stand untuk mengambil bas masing-masing. Ini adalah laluan kegemaran kami dan juga beberapa kumpulan yang lain kerana lebih dekat dan tidak terdedah dengan panas terik matahari. Sepanjang perjalanan bermula dari celahan lubang pagar di sisi kanan kawasan sekolah hingga ke bus stand, kami akan melalui ladang kelapa sawit (kini telah tiada kerana sudah didirikan pasaraya) dan sebuah tokong cina selain melayan salakan anjing-anjing belaan di tokong itu. Beberapa minit kami berjalan, di sudut selekoh jalan tanah merah sana kelihatan beberapa pelajar (seingat aku ada empat orang) dari sekolah yang sama dengan kami sedang duduk-duduk di atas pelepah kelapa sawit dan ada antara mereka yang mencangkung sambil asap berkepul-kepul keluar dari rongga hidung. Kami bertiga meneruskan perjalanan. Sebatang rokok yang aku pau dari Apis (nama sebenar) ketika di sekolah tadi sudah tinggal separuh aku hadam. Dari jauh, aku sudah dapat mengagak akan perkara yang bakal berlaku. Sani kelihatan tenang seolah mempunyai kuasa ajaib untuk mengetahui kejadian pada masa hadapan. Di tangannya juga terselit rokok, juga tinggal separuh. Antara kami bertiga, Sani adalah perokok tegar, manakala aku hanya `perokok tumpang' dan cuma Pedi seorang sahaja yang tidak merokok. Aku kira sehingga sekarang dia masih lagi bebas dari tabiat itu.

Beberapa depa sebelum kami bertiga mendekati tempat mereka berkumpul, semua mereka bingkas bangun dan masing-masing mula bergerak ke arah kami. Pedi dan Sani memperlahankan langkah. Begitu juga aku yang berjalan di belakang sekali. Kemudian, kami bertiga berhenti...


Sani memandang kepada salah seorang pelajar tebabit, lantas diam. Masing-masing diam. Laluan bertanah merah itu sudah dihalang oleh kumpulan tersebut. Sani selaku pendahulu bergerak merapati mereka seperti mengelak badan mereka yang menghalang. Tapi aku tau, dia bukan berniat untuk melepasi mereka semua. Itu cuma sebagai langkah untuk memulakan `salam perkenalan'. Belum pun bahu Sani dan salah seorang mereka bersentuh, tubuh Sani telah ditolak kebelakang. Langkah Sani terhenti dan badannya sedikit terdorong ke belakang. Pedi yang mengekori di belakang berganjak sedikit untuk mengelak daripada dilanggar.

Pertengkaran kecil berlaku. Aku tak faham duduk perkara sebenar yang menjadi punca pertengkaran antara Sani dan salah seorang mereka. Pedi yang badannya besar sedikit daripada aku mencekak pinggang di sebelah aku. Dan aku kini sedang bersedia menghadapi kemungkinan. Tolakan pelajar itu dibalas juga dengan tolakan oleh Sani. Masing-masing saling bertolak-tolakan. Pedi sudah bergerak ke hadapan. Aku sudah bersedia.

Tiba-tiba satu tumbukan melayang ke arah muka Sani, tetapi mujur dia sempat mengelak. Pergelutan pun tercetus. Masing-masing berbalas beberapa serangan tetapi semua tersasar. Pedi menanggalkan beg lalu meletakkannya ke tanah dan meluru ke arah Sani untuk membantu. Namun, belum sempat dia melakukan apa-apa, mukanya telah ditolak oleh seorang lagi pelajar. "Kau jangan campur!" Pelajar itu memberi amaran sambil cuba menyerang Pedi pula.

Serangan itu dibalas dengan satu pukulan yang terkena sedikit di lengan. Selepas itu, kedua-dua mereka iaitu Pedi dan seorang lagi pelajar itu hanya tercegat. Hanya memandang antara satu sama lain. Kini tinggal aku sendiri yang masih belum bertindak. Bergelutan antara Sani dengan lawannya semakin rancak hingga ke adegan menarik baju. Aku lihat, butang uniforn baju Sani sudah tercabut. Bajunya menggelebeh. Mukanya sudah merah, begitu juga dengan lawannya.

Zapp...! Sani melepaskan satu-satunya tendangan ala taekwando yang belum pernah dilepaskan sejak pergaduhan pada petang itu tercetus. Begitu hampir mengenai muka lawannya, mujur dia sempat mengelak. Jika tidak, aku pasti mulutnya akan berdarah. Pergelutan antara Pedi dengan lawannya telah tamat. Aku masih lagi memerhatikan pergaduhan itu. Dan tetap bersedia jika keadaan memerlukan...

~ambilan dari entri di blog lama aku.

*****

Hampir 20 tahun berlalu...

Sejak aku jadi pengguna telefon bijak ni, ada beberapa whatsapp group yang mana ku menjadi ahlinya. Ada yang aku join secara sukarela, dan ada jugak secara terpaksa sampaikan aku dah dijemput masuk untuk kali ketiga. Bukan sebab aku ni power sangat dalam group pun, tapi mungkin sebab nak cukupkan korum. Biar nampak ramai baru la meriah. Padahal yang aktif tu cuma orang yang sama je. Aku? Perhati dari jauh je. Malas nak join sangat...

Cuma, kelmarin masa tengah belek-belek apa yang kawan-kawan sekolah menengah (aku pun ada join group sekolah teknik dengan sekolah rendah jugak), terpandang satu gambar kelas dengan sorang cikgu pelatih dari maktab perguruan mana ntah. Aku dah lupa. Jangankan nama maktab, nama cikgu tu pun aku dah lupa.

Tapi apa yang pasti, dia ni jadi cikgu favorite di kalangan budak-budak perempuan. Sebab muka boleh jual. Kalau berlakon drama TV3 waktu maghrib, memang selamba je Fahrin Ahmad kena tapau sampai lemau.

Tapi apa yang aku nak kisahkan dalam entri ni bukan la pasal cikgu kacak tu. Tapi berkenaan dengan salah seorang kawan aku yang bernama Sani tu. Setiap petang, memang aku akan naik bas (Transit Link warna merah putih) yang sama dengan dia sebab kami berkongsi laluan yang sama. Cuma pagi je yang kadang-kadang sama.

Satu-satunya isi whatsapp tu yang buat aku tersentak adalah...

Gambar tingkatan 1, tak payah tanya yang mana satu aku.

Arwah?

Kehilangan kawan yang duduk di (meja) sebelah aku masa tingkatan satu memang aku dah sedia ketahui, melalui Facebook lebih kurang 5 atau 6 tahun lepas.

Tapi Sani...

Ok, aku tiba-tiba hilang idea nak menaip.

al-Fatihah kepada Nor Sani bin Rahmat, farewell my fellow brother...

About the author

Donec non enim in turpis pulvinar facilisis. Ut felis. Praesent dapibus, neque id cursus faucibus. Aenean fermentum, eget tincidunt.

10 comments:

  1. al fatihah...moga kedua arwah tenang disana
    .amin

    ReplyDelete
  2. Ok, aku mnangis di akhir cerita ko ni. Al-fatihah

    ReplyDelete
  3. Al-Fatihah..

    doakan kesejahteraan dia disana

    ReplyDelete
  4. Wajib mati bukan di usia tua.. Ramai juga rakan-rakan aku sebaya usia yang telah pergi menghadap Illahi.. Aduh, tetiba sebak pula aku..

    ReplyDelete
    Replies
    1. peringatan jugak untuk kita...

      Delete
  5. Buat masa ini saya belum dengar berita kawan lama saya yang dah 'pergi'... Kalau ada, innalillahiwainnailaihirojiun buat dia...

    ReplyDelete
    Replies
    1. tu la, siapa dapat sangka kan...

      Delete